Jumaat, 25 November 2022 | 4:39pm
Noah yang sedia mengalami lima komplikasi kesihatan kini disahkan pula mengalami bengkak dan kebocoran pada injap jantung. - Foto ihsan keluarga
Noah yang sedia mengalami lima komplikasi kesihatan kini disahkan pula mengalami bengkak dan kebocoran pada injap jantung. - Foto ihsan keluarga

Noah perlu RM15,000 rawatan injap jantung bocor

Oleh Mohd Amin Jalil

[email protected]

SEREMBAN: Tidak cukup dengan lima komplikasi kesihatan sedia ada, Noah Ulhaq Mohd Nor Hafiz yang baru berusia lima tahun kini disahkan pula mengalami bengkak dan kebocoran pada injap jantung.

Masalah pada injap jantung itu dikesan selepas Noah yang turut menghidap penyakit genetik dikenali sindrom Noonan, dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 2 November lalu.

Selain sindrom Noonan, empat lagi komplikasi sedia ada Noah termasuk jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru serta dan talasemia.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Nor Hafiz Md Shari, 37, mengakui buntu memikirkan keadaan kesihatan Noah terutama mengambil kira kos rawatan diperlukan yang tinggi.

Daripada maklumat pihak doktor, katanya Noah perlu mendapatkan semua rawatan terbaik disyorkan IJN serta pakar perubatan termasuk ujian darah khas yang memerlukan kos sekitar RM15,000.

"Noah juga perlu melakukan prosedur jantung dalam masa enam bulan. Situasi itu sememangnya menyukarkan saya untuk menyediakan kos diperlukan kerana ia di luar kemampuan keluarga kami," katanya.

Mohd Nor Hafiz yang mencari rezeki sebagai peniaga kecil berkata, mengikut perancangan awal Noah yang juga anak bongsu daripada empat beradik sepatutnya menerima rawatan secara berperingkat di Hospital Antarabangsa Bumrungrad di Bangkok, Thailand pada 2020.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda rancangan itu tidak dapat dilakukan dan tertangguh sehingga kini dan pihaknya juga sukar menyediakan kos rawatan sehingga RM41,000 yang diperlukan.

"Sebelum ini, Noah pernah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun atas sebab-sebab tertentu rawatan 'clubfoot' (kecacatan bentuk kaki) Noah terpaksa dibuat di luar negara.

"Alhamdulillah tahun lalu rawatan ini hampir berjaya, namun akibat pandemik ia gagal dihabiskan," katanya yang menetap di Taman Nusa Intan di Senawang, dekat sini.

Mengenai komplikasi terkini Noah, Mohd Nor Hafiz berkata anaknya itu memerlukan rawatan segera bagi mengelak sebarang keadaan lebih serius.

"Ketika ini Noah hanya bergantung sepenuhnya dengan susu khas yang perlu diberikan setiap tiga jam dengan kos RM1,000 sebulan.

"Saya dan isteri, Suhaila Suid, 37, terpaksa merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan proses rawatan dan pembedahan anak tidak tergendala sekali gus memastikan tahap kesihatannya baik," katanya.

Berita Harian X