DUNGUN: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menggerakkan seramai 713 petugas bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.
Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata petugas yang terbabit bertanggungjawab memastikan aspek kebersihan di PPS terjaga selain akan melakukan saringan bagi mengelak risiko jangkitan pelbagai penyakit yang berbahaya.
Beliau berkata, ia bagi memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit sepanjang musim tengkujuh.
"Daripada jumlah itu, seramai 346 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau di kawasan yang terjejas akibat banjir.
"Baki selebihnya iaitu seramai 367 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Kesihatan Mental dan Jantung Sedunia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di UiTM Kampus Dungun, di sini semalam.
Dr Kasemani berkata, petugas kesihatan yang statik akan ditempatkan di PPS sekiranya jumlah mangsa banjir mencecah 1,000 orang.
Beliau berkata, walaupun kes COVID-19 di Terengganu menunjukkan trend penurunan dan banyak prosedur operasi standard (SOP) sudah dilonggarkan, langkah-langkah pencegahan perlu sentiasa dititikberatkan bagi membendung penularan COVID-19 di PPS.
"Mangsa banjir dan anggota sukarelawan juga digalakkan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan banjir atau PPS yang sesak atau ketika bergejala.
"Selain itu, sebanyak 12 fasiliti kesihatan di negeri ini juga dikenal pasti berisiko dilanda banjir dan terputus hubungan, jadi persediaan rapi dan pelan tindakan sudah dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.