MELAKA: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Alor Gajah meningkat kepada 55 orang daripada 14 keluarga petang ini berbanding 53 orang daripada 14 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka dalam kenyataan, berkata semua mereka adalah penduduk Kampung Gadek, Kampung Punggur, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai di Alor Gajah.
"Banjir turut berlaku di Kampung Pengkalan Rama Pantai dan Kampung Sungai Putat di Melaka Tengah serta Batang Melaka dan Gapis di Jasin, namun tiada mangsa dipindahkan ke PPS," kata kenyataan itu.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Siti Khadijah Nordin, 40, dari Bukit Balai, Durian Tunggal berkata dia sudah 10 kali berdepan banjir tahun ini berikutan rumahnya berdekatan sungai.
"Rumah kami baru saja dinaiki air pada September lalu dan awal bulan ini. Semalam apabila lihat cuaca gelap dan hujan berterusan, saya segera mengemas pakaian dan menyelamatkan barangan penting kerana tahu perlu berpindah," katanya. – BERNAMA