Ahad, 23 Oktober 2022 | 5:08pm
Zaiton dan anaknya antara mangsa banjir yang berada di PPS SK Durian Tunggal. NSTP/NURALIAWATI SABRI.
Zaiton dan anaknya antara mangsa banjir yang berada di PPS SK Durian Tunggal. NSTP/NURALIAWATI SABRI.

'Sudah 10 kali berpindah ke PPS akibat rumah dinaiki air'

ALOR GAJAH: "Pusat pemindahan sementara (PPS) ini bagaikan rumah kedua kami, setiap kali hujan lebat berterusan, saya dan keluarga pasti berpindah ke sini," kata mangsa banjir dari Kampung Balai, Siti Khadijah Nordin.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, sejak awal tahun hingga kini, sudah 10 kali dia dan keluarga termasuk ibunya terpaksa berpindah ke PPS apabila kediaman dinaiki air.

Katanya, susulan hujan lebat lewat petang semalam, rumahnya dinaiki air separas pinggang termasuk arus laju dan diarahkan berpindah dengan segera.

"Memang saya sudah penat berpindah seperti ini, malah sampai satu masa rasa kecewa sangat.

"Disebabkan sudah terbiasa rumah dinaiki air apabila hujan lebat, kami anak beranak sudah meletakkan pakaian termasuk toto dalam kereta bagi memudahkan urusan berpindah keluar dilakukan," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Katanya, dia dan keluarga sudah bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka pada bulan depan.

"Apa yang ditakutkan sekarang adalah banjir pada November dan Disember depan kerana keadaan mungkin lebih teruk berbanding sekarang.

"Langkah berjaga-jaga sudah diambil termasuk meminta anak meninggalkan semua buku sekolahnya di sekolah, malah baju sekolah juga diletakkan di tempat tinggi," katanya.

Siti Khadijah berkata, beliau dan penduduk kampung berharap ada jalan penyelesaian terhadap masalah banjir itu.

"Kerajaan negeri sudah mengambil tindakan mendalamkan sungai berdekatan, tetapi masalah banjir masih tetap berlaku.

"Jadi, mungkin sudah tiba masa penduduk diberikan penempatan baharu dengan bayaran bulanan bersesuaian mengikut kemampuan kami," katanya.

Sementara itu, mangsa banjir, Zaiton Suman, 55, berkata dia dan anak lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berpindah keluar kira-kira jam 7.30 malam selepas air di laman rumahnya separas pinggang.

"Rumah saya cuma ada kelengkapan asas saja, manakala pakaian diletakkan atas siling rumah bagi mengelak rosak akibat banjir.

"Cuma kami keletihan dan tidak berdaya untuk mencuci rumah setiap kali selepas banjir surut," katanya.

Berita Harian X