Selasa, 20 September 2022 | 5:44pm
Abdul Razak (kanan) bersama Hee Sem (empat dari kanan) menyampaikan replika cek kepada bapa arwah, Bakar Kata, 67 dan ibu, Fauziah Ahmad, 63, di FELCRA Ramuan Cina, Masjid Tanah. - NSTP/ HASSAN OMAR
Abdul Razak (kanan) bersama Hee Sem (empat dari kanan) menyampaikan replika cek kepada bapa arwah, Bakar Kata, 67 dan ibu, Fauziah Ahmad, 63, di FELCRA Ramuan Cina, Masjid Tanah. - NSTP/ HASSAN OMAR

PERKESO buru 150 majikan 'ghaib'

MASJID TANAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka memburu 150 majikan yang dikenal pasti 'ghaib' selepas membuat caruman Skim Pekerja Domestik (SPD) bagi enam jenis pekerjaan.

Pengarahnya, Abdul Razak Omar berkata, ia membabitkan majikan yang menggajikan pekerja sebagai pembantu rumah, pengawal peribadi, pemandu peribadi, tukang kebun, tukang masak dan pengasuh bayi yang mula mencarum apabila skim itu diperkenalkan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa bulan majikan terbabit 'ghaib' atau tidak lagi meneruskan caruman berkenaan, sekali gus menyebabkan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 94 Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial Pekerja) 1969, katanya.

"Ada antara 2,000 hingga 3,000 pekerja domestik di negeri ini yang majikan mereka wajib membuat caruman SPD, tetapi hanya 300 yang membuat caruman setakat ini.

"Bagaimanapun, setengah daripada 300 majikan terbabit dikesan 'ghaib' begitu sahaja selepas beberapa bulan membuat caruman," katanya selepas penyerahan cek perlindungan PERKESO kepada keluarga penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Alif Bakar, 29, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di FELCRA Ramuan Cina, di sini hari ini.

Cek disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem kepada keluarga arwah membabitkan Faedah Pencen Penakat RM868.54 sebulan, selain Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan RM558.

Abdul Razak berkata, sehingga 21 Ogos lalu 2,644 penghantar makanan sudah membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), manakala 856 belum berbuat demikian.

Beliau berkata, jumlah kes pencarum SKSPS yang terbabit kemalangan tahun lalu adalah 117 orang, manakala antara Januari hingga Ogos lalu sebanyak 176 orang.

Berita Harian X