Ahad, 7 Ogos 2022 | 8:33pm
Md Hilman (duduk tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (duduk dua dari kanan) bergambar bersama penerima sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 30 tahun Perkhidmatan bagi Tahun 2021 JBPM di Raia Hotel & Convention Centre. - NSTP/ GHAZALI KORI
Md Hilman (duduk tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (duduk dua dari kanan) bergambar bersama penerima sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 30 tahun Perkhidmatan bagi Tahun 2021 JBPM di Raia Hotel & Convention Centre. - NSTP/ GHAZALI KORI

Kes dadah, tipu dokumen antara salah laku babitkan anggota bomba

KUALA NERUS: Dua daripada sembilan anggota bomba di negeri ini yang terbabit salah laku seperti penyalahgunaan dadah, tidak hadir tugas dan penipuan dokumen, sudah dibuang kerja.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid, dengan baki tujuh lagi dalam proses untuk diambil tindakan sama.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terbabit masalah disiplin.

Mengulas lanjut, katanya kebanyakan pegawai dan kakitangan berkenaan, terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan tidak hadir tugas, manakala ada juga yang menipu dokumen kerajaan seperti cuti sakit.

"Semua kes ini disiasat sejak tahun lalu dengan melalui prosedur ketat. Ini kerana urusan membuang seseorang kakitangan awam bukan mudah kerana perlu melalui proses lengkap," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perkhidmatan 30 Tahun 2021 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam perkembangan berasingan, Md Hilman berkata, seramai 15 mangsa kes mati lemas direkodkan di negeri ini sepanjang tujuh bulan pertama tahun, meningkat berbanding 14 mangsa sepanjang tahun lalu.

"Kita melihat punca mati lemas ini berlaku apabila orang luar (pelancong) yang tidak tahu risiko keadaan di sesuatu kawasan dan mereka melakukan aktiviti mandi-manda.

"Bagi kawasan berisiko berlakunya lemas, pihak kami sudah meletakkan kit bantuan awal seperti jaket keselamatan, tali, lampu suluh dan sebagainya namun kebanyakan sudah rosak akibat perbuatan tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 2,737 panggilan palsu diterima pihaknya tahun ini, namun kebanyakannya adalah panggilan palsu yang berniat baik.

Mengulas perkara itu, katanya ia bermaksud kepekaan masyarakat setempat dengan membuat panggilan kepada pihak kami untuk memaklumkan berlakunya kebakaran.

"Contohnya, panggilan diterima memaklumkan mereka terlihat asap daripada kawasan tertentu, namun apabila ke lokasi kami dapati kawasan terbabit sedang disembur dengan semburan nyamuk oleh pihak kesihatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

Berita Harian X