Rabu, 27 Julai 2022 | 8:10pm
Nur Amirah (tengah) menyaksikan Mazlan (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada penutut pada program pelancaran Menu Makanan Malaysia UMT, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Nur Amirah (tengah) menyaksikan Mazlan (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada penutut pada program pelancaran Menu Makanan Malaysia UMT, hari ini. - NSTP/BAHAROM BAKAR

MPP UMT kecam himpunan turun harga barang

KUALA NERUS: Perhimpunan membantah kenaikan harga barang yang turut disertai golongan mahasiswa disifatkan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Amirah Mohd Agus, berkata ada saluran lain yang sesuai untuk menyuarakan pandangan kepada kerajaan.

Beliau mengakui, kenaikan harga barang di seluruh dunia turut memberi kesan kepada mahasiswa terutama dari keluarga B40 dan M40, namun kerajaan dilihat sudah dan sedang merencana langkah terbaik untuk menangani masalah itu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sedang mengambil langkah terbaik untuk menangani masalah itu. Program Menu Keluarga Malaysia (MKM) antara kaedah terbaik membantu mahasiswa yang terkesan.

"Di peringkat UMT, semua mahasiswa yang tidak berkemampuan dan menghadapi masalah kewangan disaran terus menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar atau wakil MPP bagi mendapatkan bantuan," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mengulas perhimpunan haram Sabtu lalu, dipercayai dianjurkan pihak yang merujuk diri mereka Gabungan Mahasiswa, Nur Amirah menegaskan, MPP UMT mengecam dan menentang sekeras-kerasnya perhimpunan berkenaan.

"Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kepada mahasiswa yang didapati melanggar akta berkenaan," katanya.

Beliau menjelaskan, pengurusan UMT diketuai Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dan MPP komited memastikan hal ehwal dan kebajikan mahasiswa, termasuk yang tinggal di dalam dan luar kampus sentiasa terjaga.

"Semua mahasiswa UMT dinasihatkan untuk bersikap matang dan bijaksana dalam menentukan perkara yang salah di sisi undang-undang, gunakan saluran yang sebenar untuk menyuarakan pandangan kepada kerajaan," katanya.

Berita Harian X