Isnin, 18 Julai 2022 | 12:39pm
Tuan Mohd Saripudin ketika melawat projek fertigasi cili di tapak pertanian bersepadu komuniti desa di Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA) di Kampung Beta, Pohon Buloh. - Gambar fail
Tuan Mohd Saripudin ketika melawat projek fertigasi cili di tapak pertanian bersepadu komuniti desa di Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA) di Kampung Beta, Pohon Buloh. - Gambar fail

Pengeluaran beras, buah-buahan negeri melebihi SSL

KOTA BHARU: Kelantan tidak akan menghadapi situasi kekurangan makanan sekiranya berlaku krisis bekalan memandangkan pengeluaran sumber utama seperti beras dan buah-buahan melebihi tahap sara diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan pada 11 Mei 2022.

Katanya, jawatankuasa berkenaan membabitkan pelbagai agensi termasuk jabatan atau agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil dari institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperhalusi isu berkaitan serta langkah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berbangkit.

"Berdasarkan data Status Kadar Sara Diri (SSL) 2020 menunjukkan, Kelantan berada dalam landasan tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara.

"Status SSL 2020 bagi sumber makanan untuk beras adalah 208 peratus, kelapa sebanyak 196 peratus, daging kambing serta bebiri 190 peratus, buah-buahan 117 peratus, sayur-sayuran 98 peratus dan ikan adalah 93 peratus.

"Selain itu, beberapa langkah diambil kerajaan seperti menyediakan peruntukan khas RM 10 juta melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan bagi pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging tertutup separa automatik dan penternakan lembu secara integrasi di ladang sawit," katanya ketika menjawab soalan lisan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, hari ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata, ternakan lembu secara integrasi dalam kawasan ladang sawit juga sudah dibangunkan pihak Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad di Paloh, Gua Musang.

Malah, katanya kerajaan negeri turut menyediakan kawasan jelapang padi baharu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membangunkan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) seluas 100 hektar di Mukim Bunut Susu di Pasir Mas.

"Pengisytiharan Danau Tok Uban sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) dilakukan dalam usaha menambah beberapa kawasan yang berpotensi sebagai ZIA yang baharu, seperti di Laguna Semerak.

"Kerajaan negeri juga meningkatkan proses pemindahan ilmu, teknologi dan teknikal kepada masyarakat melalui bengkel latihan seperti Agri Bio Class, Seminar Semarak Organik Al- Falah, Diskusi Organik dan pelbagai latihan di bawah jabatan dan agensi berkaitan," katanya

Beliau menambah, kempen membabitkan masyarakat dipergiatkan dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan seperti Program Dapur Hijau, Kempen Seed Community - Kempen Penghasilan dan Penyimpanan benih tanaman.

Berita Harian X