Isnin, 27 Jun 2022 | 5:06pm

MAIK nafi lantik ejen kutip derma

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat untuk mengutip wang daripada orang ramai.

Yang Dipertua (YDP) MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan tegas boleh diambil termasuk membuat laporan polis terhadap mereka yang menyalahgunakan nama MAIK bagi kegiatan itu.

"Di pihak MAIK, kita tidak pernah melantik mana-mana individu dan syarikat atau ejen lantikan untuk mengutip tabung kerana sebarang urusan berkaitan sumbangan boleh terus ke MAIK atau menerusi platform dalam talian.

"Jika didapati ada yang menggunakan nama MAIK untuk kegiatan mengutip derma, boleh diambil tindakan seterusnya melaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika sidang media pada majlis pelancaran Bulan Wakaf MAIK di Dewan Besar Balai Islam. Kompleks Islam Darulnaim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan YDP MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Beliau berkata demikian susulan kejadian yang ditularkan baru-baru ini mengenai individu yang menyamar sebagai wakil MAIK untuk mengutip derma.

Tengku Mohd Rizam berkata, MAIK sudah memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk orang ramai berwakaf antaranya melalui dalam talian, potongan gaji dan 'direct debit' menerusi sistem Waqaf Tunai MAIK.

Katanya, platforn itu dilihat lebih fleksibel pada masa kini berbanding kaedah secara fizikal atau bersemuka malah aset untuk diwakafkan juga boleh dipelbagaikan dan bukan hanya khusus kepada tanah sahaja.

"Apa yang MAIK lakukan sekarang adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai kemudahan berwakaf kerana pengetahuan orang ramai sebelum ini agak terhad.

"Saluran berwakaf juga bukan hanya bentuk fizikal tapi boleh dilakukan secara dalam talian dan kita yakin jumlah wakaf akan bertambah kerana ia menjadi tarikan untuk orang ramai," katanya.

Beliau juga berkata, MAIK sudah membelanjakan lebih RM1 juta untuk pelbagai projek Waqaf Tunai MAIK dan di bawah program Waqaf Tunai Kesihatan, MAIK menyumbangkan pelbagai jenis mesin perubatan antaranya mesin ultrasound, kardiotografi dan 'flow oxigen'.

Katanya, bagi projek kemudahan dan infrastruktur, MAIK dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan sudah membina lokasi tandak air di Jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

"MAIK juga turut membina jeti penumpang di Jajahan Kuala Krai untuk kemudahan masyarakat setempat di samping turut menaik taraf bangunan pendidikan, seperti Tahfiz Sulaimaniyah, Tumpat.

"Selain Waqaf Tunai, MAIK turut menerima pewakafan tanah yang mana sehingga Mei tahun ini, terdapat 1,257 lot tanah bersamaan 503.2 hektar tanah sudah didaftarkan dan kini di bawah kawalan MAIK.

"Sebanyak 59 peratus daripadanya digunakan untuk tanah perkuburan Islam, 21 peratus dimanfaatkan sebagai tapak masjid dan surau manakala bakinya didirikan pondok tahfiz, sekolah, rumah anak yatim dan diberi sewaan untuk tujuan pertanian serta premis perniagaan yang mana hasilnya diagihkan kepada penerima manfaat wakaf," katanya.

Dalam majlis yang turut dihadiri Mufti Negeri Kelantan iaitu Datuk Mohamad Shukri Mohamad itu, diadakan acara menandatangani perjanjian usahasama wakaf antara MAIK dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Tengku Mohamad Rizam berkata, melalui usaha sama itu, MAIK memberi kuasa mutawalli kepada tiga institusi pengajian itu bagi mengutip wakaf tunai yang kemudiannya wang berkenaan akan digunakan untuk pendidikan atau kesihatan sebagaimana kuasa diberikan.

"Sebanyak RM189,040.19 diwakafkan oleh pelbagai pihak dan agensi untuk YIK, UMK dan USM dengan masing-masing menerima RM140,000, RM39,040.19 dan RM10,000," katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban untuk Aidiladha ini, beliau berkata, kaedahnya sama seperti yang dikeluarkan kerajaan dan tiada syarat tambahan dikenakan untuk ibadah itu di negeri ini.

"Kita praktik kaedah SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan dan selain itu tiada SOP tambahan serta tempat khusus untuk ibadah korban juga tidak diperlukan.

"Tak ada masalah nak buat tapi perlu penjarakan sosial dan jika ada keperluan untuk pakai pelitup muka, itu mesti dipatuhi," katanya.

Yang Dipertua (YDP) MAIK, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kiri) menerima wakaf tunai oleh pelbagai pihak dan agensi selepas melancarkan Bulan Wakaf MAIK 2022 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Yang Dipertua (YDP) MAIK, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kiri) menerima wakaf tunai oleh pelbagai pihak dan agensi selepas melancarkan Bulan Wakaf MAIK 2022 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, di sini, hari ini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X