Rabu, 15 Jun 2022 | 11:27am
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (kanan) menyampaikan cek faedah hilang upaya kekal kepada Muhammad Azrie (tengah) sambil diperhatikan Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mokhtar (kiri) hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (kanan) menyampaikan cek faedah hilang upaya kekal kepada Muhammad Azrie (tengah) sambil diperhatikan Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mokhtar (kiri) hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK

PERKESO bantu ringankan beban pekerja hilang upaya kekal

JERANTUT: Seorang bekas penyelia kontrak pembinaan rel kereta api melalui hidup yang cukup perit apabila hilang mata pencarian selepas hidup terlantar akibat lumpuh disebabkan kemalangan jalan raya lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kesukaran dilalui Muhammad Azrie Abd Rashid, 27, sedikit terubat apabila dia disahkan layak untuk menerima faedah hilang upaya kekal hasil caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ketika bekerja dengan untuk syarikat kontrak pembinaan rel kereta api terbabit di Segamat sebelum ini.

Selain faedah hilang upaya kekal RM2,700 setiap sebulan, Muhammad Azrie yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu turut menerima faedah rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi PERKESO, faedah perubatan dan bekalan lampin pakai buang, kerusi roda serta lain lain alat berkaitan.

Ibunya, Zuraidah Abu Bakar, 52, mengakui bersyukur dengan kelulusan faedah hilang upaya kekal itu untuk Muhammad Azrie memandangkan bebanan ditanggung anaknya itu sejak lebih dua tahun lalu cukup besar.

"Akibat kemalangan, Muhammad Azrie tidak lagi berdaya untuk bergerak dan memerlukan bantuan sepenuh masa.

"Pada awalnya, memang agak sukar untuk saya menyesuaikan diri, namun selepas dua tahun lebih menjaganya ia sudah menjadi rutin saya menguruskan Azrie," katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu am di sebuah hotel di bandar ini demi menjaga anaknya itu.

Muhammad Azrie terbabit kemalangan pada pertengahan Disember 2019 semasa dalam perjalanan dari tapak projek untuk membantu seorang rakannya yang keretanya terbenam kira kira jam 10 pagi.

Akibat kemalangan itu, Muhammad Azrie terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama lima hari sebelum di rawat di wad biasa selama tiga bulan di Hospital Segamat dan kemudian mendapat rawatan di KPJ Kuantan.

Dalam pada itu, PERKESO menyerahkan cek faedah hilang upaya kekal kepada Muhammad Azrie di rumahnya di Perumahan Kos Rendah Bandar Baru di sini, yang disampaikan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mokhtar dan Pengurus PERKESO Temerloh, Roziah Abdul Wahid.

Sementara itu,Tarmizi berkata, PERKESO amat prihatin terhadap permasalahan dihadapi pencarum dan sentiasa cuba membantu mendapatkan faedah perlindungan keselamatan sosial yang mereka layak untuk mendapatkannya.

"Meskipun tidak lagi bekerja dan mencarum, namun jika memenuhi syarat kelayakan caruman diperlukan serta disahkan Jemaah Doktor, mereka masih layak menerima faedah daripada PERKESO.

"Kami di PERKESO sentiasa menyarankan majikan dan pekerja yang belum mencarum segera berbuat demikian demi kesejahteraan pencarum serta waris sekiranya ditimpa musibah," katanya.

Berita Harian X