KOTA BHARU: Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memerlukan sekurang-kurangnya 12,000 beg darah setiap tahun bagi menampung keperluan semasa pesakit.
Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Dr Mohd Amran Ab Wahab, berkata purata darah bulanan yang diperlukan ialah 800 beg yang turut diberi kepada mana-mana hospital yang memerlukan bekalan.
Katanya, jumlah darah di unit berkenaan masih mencukupi, namun bekalan perlu dipastikan sentiasa ada.
"Kita perlu memastikan bekalan ada untuk membantu pesakit, termasuk kes kecemasan pendarahan di luar jangka seperti kemalangan atau komplikasi ketika bersalin, bayi pramatang, talassemia, kanser, kegagalan buah pinggang dan mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal serta kompleks.
"Ketika negara berdepan penularan pandemik COVID-19, stok bekalan darah merosot sehingga 50 peratus disebabkan kekangan menganjur program selain perasaan takut dalam kalangan masyarakat keluar menderma darah.
"Stok bekalan darah sudah stabil kerana banyak program boleh dianjurkan dan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah," katanya kepada pemberita ketika Program Derma Darah di Hotel Perdana, hari ini.
Dr Mohd Amran berkata, bekalan yang paling rendah dalam simpanan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM adalah darah jenis O.
Katanya, bekalan itu memang diperlukan kerana kebanyakan pesakit di hospital mempunyai darah jenis O dan ia boleh didermakan kepada individu daripada jenis kumpulan darah lain.