Jumaat, 3 Jun 2022 | 12:25pm
Lembu berkeliaran dan merosakkan lanskap di bulatan Bandar Springhill. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Lembu berkeliaran dan merosakkan lanskap di bulatan Bandar Springhill. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Penduduk rimas Bandar Springhill penuh lembu

PORT DICKSON: Isu lembu berkeliaran di kawasan taman perumahan di sekitar Bandar Springhill bukan baharu, malah sudah banyak kemalangan disebabkan ternakan itu dibiar bebas tanpa pengawasan oleh penternak.

Penduduk, Vira Hashim yang menetap di kawasan berkenaan sejak lebih 15 tahun lalu, berkata Bandar Springhill kawasan yang cantik, namun dicemari dengan kehadiran ratusan lembu berkelirana sepanjang waktu.

"Saya amat kecewa kerana hampir setiap hari kawasan perumahan di sini dipenuhi lembu-lembu berkeliaran bebas. Selain najisnya yang bersepah di atas jalan atau kawasan taman, kemalangan disebabkan lembu juga kerap berlaku," katanya.

Katanya, isu yang sudah lama berlanjutan itu kerap diadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi berterusan sehingga kini dan tiada tanda-tanda jalan penyelesaian jangka panjang akan diambil.

"PBT perlu lebih kerap buat operasi tangkap ternakan ini, perlu bertegas dengan pemilik dengan mengenakan denda tinggi dan tidak bertolak ansur soal denda agar mereka serik dan tidak membiarkan lembu peliharaan berkeliaran.

"Port Dickson kawasan pelancongan, sepatutnya masalah ini sudah lama diatasi kerana secara tidak langsung, ia memberi imej tidak baik, tambahan pula di Bandar Springhill terdapat satu pusat pendidikan bertaraf antarabangsa, Universiti UCSI.

"Sejak beberapa tahun lalu, boleh dikatakan hampir setiap minggu ada saja kemalangan di jalan lama Seremban-Port Dickson dan jalan dalam kawasan taman yang berpunda daripada lembu berkeliaran," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa mengakui masalah itu sudah lama berlarutan dan pihaknya sentiasa mengambil tindakan dari semasa ke semasa serta berdasarkan aduan yang diterima.

"Pemilik lembu perlu jaga ternakan mereka, jangan biar berkeliaran masuk kawasan perumahan dan di jalan kerana akan menyebabkan kacau ganggu, menjejaskan kebersihan jalan, kerosakan landskap dan kemalangan.

"Lembu di kawasan Bandar Springhill ini susah nak tangkap, perlu buat pagar untuk halau masuk, tambahan pua kawasan ini terlalu luas," katanya memberi amaran pihaknya akan mengenakan denda maksimum RM2,500 ke atas pemilik bagi setiap lembu mereka yang ditangkap.

Berita Harian X