Jumaat, 27 Mei 2022 | 5:45pm

'Doa, selawat bantu saya cari jalan keluar '

TUMPAT: "Sepanjang tujuh hari sesat dalam hutan, saya sentiasa berselawat dan yang peliknya, tak pernah rasa lapar walaupun hanya mengalas perut dengan air sahaja," kata Yaakub Ismail, yang hilang di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

Yaakub, 76, yang hilang sejak Khamis lalu, ditemui selamat oleh penduduk kampung pada jam 6.45 petang kelmarin.

Beliau berkata, dia sentiasa berdoa ditunjukkan jalan pulang kerana sudah berasa terlalu letih disebabkan sering berjalan.

"Sampai satu tahap di mana saya hampir putusa asa dan 'menyeru' harimau supaya muncul dan bantu saya tunjukkan jalan untuk pulang walaupun akui ia agak berisiko jika raja hutan itu betul-betul muncul.

"Saya sudah sangat letih kerana sebaik menjelang siang, saya akan mula berjalan mencari jalan keluar dan hanya berehat apabila malam sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, di sini, semalam.

Bercerita bagaimana dia boleh tersesat, Yaakub berkata, dia datang ke kebun itu bersama dua anaknya dan ingin melihat sekitar tanahnya seluas 4.8 hektar yang hampir keseluruhan ditanam dengan buah-buahan.

Namun, beliau yang sudah mengusahakan tanah itu sejak 30 tahun lalu, berkata memasuki kebun dengan membawa beberapa pokok durian jenis Musang King untuk ditanam.

"Saya berjalan melihat kawasan berseorangan pada jam 11 pagi tanpa disangka langkah sudah semakin jauh sehingga ke jalan yang ditumbuhi rumput namun hati masih lagi ingin meneruskan perjalanan.

"Sehinggalah saya sampai di kaki bukit dan ketika melihat jam di tangan, ia menunjukkan sudah jam 2 petang menandakan sudah lama saya berjalan dan ketika ingin kembali barulah saya sedar sudah tersesat," katanya.

Terdahulu, Yaakub dikunjungi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanya khabar dan pengalaman warga emas itu sepanjang berada dalam hutan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dengan hanya sebilah golok, dia berjalan meredah hutan dan terjumpa sebuah bangsal sebelum berehat kerana hari sudah menjelang malam.

Kata pesara kakitangan kerajaan itu lagi, nasibnya agak malang kerana telefon bimbit yang dibawa hilang entah ke mana manakala golok yang selama ini menjadi peneman juga terjatuh dalam air terjun ketika dia ingin membersihkan diri malah dia juga hampir lemas ketika itu.

"Seluar saya habis terkoyak kerana terkena duri pokok rotan dan agak terkilan kerana sepanjang sesat itu saya tidak dapat menunaikan solat disebabkan pakaian sebegitu namun sebaik tiba di rumah, saya qadakan solat.

"Perasaan takut langsung tiada cuma agak cuak juga kerana pada waktu malam kerap diganggu bunyi babi hutan malah terserempak dengan tompokan najis gajah.

"Bagaimanapun petang Rabu lalu, sebaik terdengar sayup-sayup suara penduduk kampung mencari saya dan lega apabila berjaya keluar daripada kebun," katanya.

Warga emas, Yaakub Ismail, 76 bersama anak selepas ditemui selamat oleh penduduk kampung yang sesat dalam hutan di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, di sini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Warga emas, Yaakub Ismail, 76 bersama anak selepas ditemui selamat oleh penduduk kampung yang sesat dalam hutan di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, di sini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X