JOHOR BAHRU: Hujan lebat tidak sampai setengah jam menyebabkan dua blok Apartmen Larkin Idaman di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.
Penduduk Apartmen Larkin Idaman, Mohd Hafiz Hamdan, 52, berkata bahagian bawah blok A1 dan A2 digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter.
Katanya, motosikal dan kenderaan penduduk yang di parkir di tempat letak kenderaan di bawah blok juga ditenggelami melebihi pintu kereta.
"Saya sempat meminta anak untuk mengalihkan kenderaan yang sudah dimasuki air, ke tempat tinggi.
"Ini kali kedua kawasan ini dilanda banjir kilat. Bulan Mei tahun lalu, kawasan perumahan ini pernah dilanda banjir kilat dan menyebabkan banyak kenderaan penduduk rosak termasuk kereta saya," katanya.
Mohd Hafiz berkata, kejadian banjir kilat berlaku disebabkan kerja menaik taraf landasan kereta api berhampiran kawasan ini.
Selain Pangsapuri Larkin Idaman, terdapat beberapa laluan jalan raya di bandar raya ini dinaiki air akibat hujan lebat petang tadi.
Antaranya Jalan Skudai berhadapan Skudai Parade.