Khamis, 19 Mei 2022 | 9:20am
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tarmizi Mukhtar. - Foto Asrol Awang
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tarmizi Mukhtar. - Foto Asrol Awang

PERKESO Pahang bayar faedah berjumlah RM10.45 juta

KUANTAN: Sejumlah RM10.45 juta faedah dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pencarum bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar, berkata bayaran tertinggi membabitkan faedah hilang upaya sementara berjumlah RM5.37 juta dan hilang upaya kekal pula RM3.73 juta.

Katanya, selain itu, faedah pengurusan mayat RM332.716, pencen ilat (RM325,313), bayaran ganti belanja (RM250,992), pencen penakat (RM163,875) dan faedah orang tanggungan (RM32,301).

"Bagi proses tuntutan oleh pencarum, PERKESO memberi memberi jaminan proses dan kelulusan akan dilakukan dalam tempoh tiga hari selepas menerima laporan.

"Kita sentiasa berusaha mempercepatkan setiap proses tuntutan dan sebaik menerima laporan atau pencarum mengemukakan tuntutan, kita pastikan dalam masa tiga hari, semua dokumen dilengkapkan.

"Pembayaran bagi tuntutan juga kita akan selesaikan dalam masa tiga hari selepas dokumen lengkap dan diluluskan," katanya.

Tarmizi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri dan Penyampaian Cek Faedah Perkeso di Wisma PERKESO Kuantan, di sini, semalam.

Pada majlis penyampaian itu, lima pencarum menerima bayaran faedah hilang upaya kekal, pengurusan mayat, hilang upaya sementara dan alat pemulihan membabitkan jumlah keseluruhan RM60,888.

Tarmizi berkata, pihaknya turut membantu dalam mempercepatkan proses tuntutan apabila mendapat laporan daripada media cetak, elektronik atau media sosial.

Katanya, skuad PERKESO Prihatin akan menjalankan siasatan sebaik menerima aduan atau mendapat laporan di media sosial.

"Kita akan mendapatkan nombor kad pengenalan sama ada mereka yang terbabit dalam kemalangan dan menghidap penyakit.

"Selepas itu, kita akan membuat semakan sama ada layak untuk menerima skim faedah PERKESO," katanya.

Berita Harian X