Ahad, 15 Mei 2022 | 11:53am
Peniaga buah di Jalan Anson, Ang Hock Leng, 56, melayan pelanggan di gerai duriannya di Jalan Anson, Georgetown. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI
Peniaga buah di Jalan Anson, Ang Hock Leng, 56, melayan pelanggan di gerai duriannya di Jalan Anson, Georgetown. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI

Musang King, duri hitam jadi buruan

GEORGETOWN: Pulau Pinang khususnya kawasan Balik Pulau kembali meriah susulan bermulanya musim raja buah.

Tinjauan di sekitar Jalan Anson, Jalan Macalister dan Jalan Burmah di sini, mendapati orang ramai sudah berbaris sejak 10 pagi bagi membeli durian.

Warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Chee, 60-an, berkata dia ke Pulau Pinang beberapa hari lalu dan gembira kerana ia tepat pada waktu musim durian di negeri ini.

"Saya memang 'hantu' durian dan sudah lama mahu merasai durian Pulau Pinang, buahnya cantik, kekuningan serta manis," katanya yang datang bersama tiga lagi ahli keluarga.

Bagi Norliana Muhammad Noh, 46, dari Taiping, Perak, dia dan keluarga lazimnya akan bercuti di Pulau Pinang setiap kali musim durian.

"Tahun lalu memang kecewa kerana tidak dapat ke sini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri," katanya.

Walaupun harganya mahal, pekerja swasta itu berkata, ia berbaloi apabila sudah merasai keenakan buah durian negeri ini.

Peniaga buah di Jalan Anson, Ang Hock Leng, 56, berkata sambutan terhadap 'pesta durian' kali ini amat luar biasa kerana negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

"Pada masa ini, durian D604, Musang King dan duri hitam paling banyak dijual, jenis lain akan luruh pada bulan depan. Orang ramai sudah berbaris sejak jam 10 pagi, boleh makan terus di kedai. Peniaga dan pemilik dusun menjangka pesta durian kali ini pasti meriah," katanya.

Hock Leng berkata, durian di gerainya dijual bermula RM18 hingga RM100 ke atas mengikut jenis dengan pilihan rata-rata pelanggan, terutama dari luar Pulau Pinang adalah Musang King dan duri hitam.

"Durian Pulau Pinang berbuah lebat pada tahun ini dan lebih puas hati jika makan terus di gerai atau dusun berbanding beli dan bawa pulang ke rumah," katanya lagi.

Berita Harian X