Isnin, 25 April 2022 | 6:50pm
Dua premis makanan diarah tutup selama 14 hari ketika Operasi Bersepadu Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ihsan MBPP
Dua premis makanan diarah tutup selama 14 hari ketika Operasi Bersepadu Kebersihan Premis Makanan yang dijalankan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ihsan MBPP

Jumpa najis tikus, dua premis makanan diarah tutup

GEORGETOWN: Dua premis makanan di sini, diberi notis penutupan selama 14 hari berikutan penemuan najis tikus dan tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

Penutupan premis berkenaan dilakukan ketika Operasi Bersepadu Kebersihan Premis Makanan oleh Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) terhadap premis makanan di sekitar Georgetown.

MBPP menerusi kenyataannya di laman Facebook berkata, premis berkenaan diarahkan tutup bermula hari ini hingga 8 Mei depan bagi kerja pembersihan segera dan secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Katanya, pemeriksaan mengejut itu bertujuan bagi memastikan premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat dikunjungi pelanggan.

"Hasil pemeriksaan hari ini mendapati sebanyak dua premis makanan tidak mencapai tahap kebersihan sewajarnya selain penemuan najis tikus di dalam premis.

"MBPP akan mengambil tindakan tegas kepada semua pemilik premis makanan sekiranya didapati mengabaikan tahap

kebersihan seluruh kawasannya," katanya di sini, hari ini.

MBPP juga mengingatkan kepada pemilik premis supaya tidak menjadikan pelanggan sebagai mangsa kepada sikap pengotor dan tidak bertanggungjawab mereka.

Berita Harian X