Khamis, 21 April 2022 | 1:32pm
Gelinciran tanah yang didakwa berlaku akibat projek perumahan bersebelahan semakin menghampiri Blok C SK Simpang Empat, Alor Gajah. Foto NSTP
Gelinciran tanah yang didakwa berlaku akibat projek perumahan bersebelahan semakin menghampiri Blok C SK Simpang Empat, Alor Gajah. Foto NSTP
Taufik menunjukkan tembok penahan rosak akibat pergerakan tanah yang didakwa berpunca daripada projek perumahan berhampiran SK Simpang Empat, Alor Gajah. Foto NSTP
Taufik menunjukkan tembok penahan rosak akibat pergerakan tanah yang didakwa berpunca daripada projek perumahan berhampiran SK Simpang Empat, Alor Gajah. Foto NSTP

Keselamatan 465 murid, 37 guru terancam

ALOR GAJAH: Keselamatan 465 murid dan 37 guru Sekolah Kebangsaan Simpang Empat (SKSE), di sini terancam berikutan gelinciran tebing berhampiran sekolah yang didakwa berpunca daripada projek perumahan bersebelahan, dikesan semakin serius.

Turut terkesan ialah keselamatan sembilan kakitangan dan empat pengawal keselamatan selepas runtuhan tanah yang hanya beberapa meter dari sekolah itu, terutama Blok C dan kantin, dikesan semakin membimbangkan.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSE, Taufik Abdul Rahman, 48, mendakwa sejak pembinaan 16 unit rumah berhampiran sekolah itu dua tahun lalu, runtuhan tebing semakin merebak hingga menghampiri bangunan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah sudah memberi arahan supaya keseluruhan Blok C yang menempatkan tujuh kelas dan 210 murid dikosongkan mulai Mac lalu.

Taufik menunjukkan gelinciran tanah tebing SK Simpang Empat yang didakwa berpunca daripada projek perumahan berhampiran. Foto NSTP
Taufik menunjukkan gelinciran tanah tebing SK Simpang Empat yang didakwa berpunca daripada projek perumahan berhampiran. Foto NSTP

"Kami ibu bapa amat kecewa apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah mengeluarkan kenyataan, Blok C akan digunakan selagi JKR tidak mengeluarkan kenyataan ia selamat diduduki," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Beliau mendakwa, pemaju perumahan berkenaan menarah tebing berhampiran sekolah tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan Majlis Daerah Alor Gajah (MPAG). Walaupun pemaju sudah membuat kerja pembaikan cerun, gelinciran tanah masih berlaku hingga sekarang.

"Kami amat bimbang keselamatan anak kami dan guru serta kakitangan terancam akibat gelinciran tanah yang semakin serius, terutama pada musim hujan," katanya.

Taufik berkata, berikutan arahan pengosongan Blok C, pihak pentadbir sekolah terpaksa menempatkan murid dalam perpustakaan, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) dan bilik tayang.

"Bagaimanapun, 70 murid prasekolah dalam dua kelas berasingan masih ditempatkan di Blok C berikutan ketiadaan kelas lain untuk menampung jumlah murid berkenaan," katanya.

Beliau mendakwa, sudah beberapa kali membawa masalah berkenaan kepada pelbagai pihak bertanggungjawab seperti PPD Alor Gajah, Jabatan Pendidikan Melaka, JKR dan MPAG, namun tiada satu pun yang mampu memberikan keputusan konkrit mengenai kaedah untuk mengatasinya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, termasuk kerajaan negeri meneliti masalah berkenaan demi keselamatan dan pembelajaran yang sempurna untuk murid.

Sementara itu, EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin, berkata kerajaan negeri akan meneliti aspek berkenaan dan berusaha mencari kaedah sesuai untuk mengatasinya demi keselamatan murid dan warga pendidik di sekolah berkenaan.

Berita Harian X