Jumaat, 8 April 2022 | 11:35am
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa aksesori kereta yang disyaki tiruan di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Ihsan KPDNHEP
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa aksesori kereta yang disyaki tiruan di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Ihsan KPDNHEP

KPDNHEP rampas aksesori kereta tiruan RM32,410

NILAI: Sebuah premis yang menjual aksesori kereta di Taman Desa Cempaka, di sini, dikesan membekalkan speaker dan subwoofer yang disyaki tiruan dengan menggunakan jenama terkenal.

Dalam serbuan yang dijalankan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan petang semalam, sebanyak 334 produk tiruan dianggarkan bernilai RM32,410 dirampas.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan berkenaan hasil risikan pihaknya dan kerjasama dengan wakil cap dagang.

"Seramai enam anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan operasi di sebuah premis membekalkan aksesori kenderaan di Taman Desa Cempaka, kerana membekalkan aksesori kenderaan iaitu speaker dan subwoofer yang disyaki menyalahgunakan satu cap dagang berdaftar yang terkenal.

"Tindakan ini adalah hasil dari pemantauan dan kerjasama yang dibuat pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan pihak pengadu bagi cap dagang berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ain Arjuna berkata, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui 334 unit barangan seperti speaker dan subwoofer bagi satu jenama yang disyaki adalah tiruan.

"Anggaran nilai rampasan sebanyak RM32,410. Kesemua barangan berkenaan disita mengikut Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan yang tegas ke atas peniaga yang didapati menjual barangan tiruan.

"Pengguna juga dinasihati untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan tertipu ketika membeli barangan tiruan menggunakan jenama yang terkenal," jelasnya.

Berita Harian X