Isnin, 4 April 2022 | 7:38pm

Kilang peleburan e-waste didakwa punca pencemaran bau

KUALA KANGSAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengenalpasti sebuah kilang peleburan sisa bahan e-waste, dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran bau di sekitar Simpang Pulai, Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, berkata susulan itu tindakan dibuat melalui sitaan terhadap peralatan memproses sekerap termasuk e-waste di kilang terbabit.

"Setakat ini (pencemaran) bau yang diadukan itu sama dengan bau yang berpunca daripada kilang terbabit. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika menghadiri Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Perak si Arena Square Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad.

Mohd Akmal berkata, terdapat lebih 100 kilang dikenal pasti berada dalam radius pengesanan pencemaran bau yang didakwa itu.

Justeru, beliau berkata, JAS turut tidak menolak bahawa punca bau itu juga berasal daripada sumber atau kilang lain.

"Mengenai bau itu, kilang berkenaan bukanlah satu-satunya punca pencemaran di situ, mungkin ada lagi (sumber) yang lain.

"Buat masa sekarang, tindakan menyita sudah dibuat terhadap sebuah kilang dengan sampel daripada kilang itu juga sudah diambil.

"Jadi kalau ada berlaku lagi aduan pencemaran bau bermakna puncanya adalah dari kilang lain. Proses lanjut masih diteruskan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja melalui hantaran Facebook, semalam berkata selain dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kompaun juga dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap kilang itu kerana beroperasi tanpa lesen.

Katanya, berdasarkan pemerhatian dijalankan di lokasi kilang berkenaan yang turut dihadiri ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing, kilang itu menjalankan kerja peleburan e-waste bagi memperoleh bahan logam berharga daripadanya.

"Proses peleburan dengan suhu amat tinggi ini menghasilkan gas dan air berasid serta bau tidak menyenangkan lagi memedihkan (mata)," katanya.

Terdahulu, aduan mengenai pencemaran bau itu mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang dilaporkan berkata, perkara itu sudah dimaklumkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Isu terbabit muncul apabila Kar Hing memuat naik hantaran di Facebook berkaitan bau busuk bahan kimia di sekitar kawasan rondaannya di Bandar Seri Botani, Taman Muda, dan Kampung Sengat di Simpang Pulai.

Melalui hantaran berkenaan, Kar Hing turut menyatakan kesan bau itu yang memedihkan mata dan menyebabkan sesak nafas sehingga terpaksa membuka tingkap kereta sepanjang rondaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin beramah mesra bersama penerima Sijil Gerai Contoh Bazaar Ramadan Kuala Kangsar bagi Tahun 2022 pada Majlis Pelancaran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 bertempat di Arena Square Kuala Kangsar. - Foto L MANIMARAN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin beramah mesra bersama penerima Sijil Gerai Contoh Bazaar Ramadan Kuala Kangsar bagi Tahun 2022 pada Majlis Pelancaran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 bertempat di Arena Square Kuala Kangsar. - Foto L MANIMARAN
Berita Harian X