Ahad, 3 April 2022 | 2:33pm
Saarani (kanan) menyiram pokok durian selepas majlis Perasmian Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong. Foto ihsan Perak SADC.
Saarani (kanan) menyiram pokok durian selepas majlis Perasmian Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong. Foto ihsan Perak SADC.

Perak SADC bangunkan projek durian RM44.41 juta

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) akan membangunkan projek tanaman durian membabitkan kawasan seluas 621.2 hektar di seluruh negeri dengan peruntukan RM44.41 juta, tahun ini.

Perak SADC dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi keutamaan menanam durian Musang King, selain beberapa varieti lain seperti Duri Hitam dan D24.

Katanya, projek itu dijangka mula mengeluarkan hasil secara berperingkat menjelang 2029.

"Perak SADC juga merancang mengadakan usaha sama pemasaran dan melihat kewajaran bagi membangunkan kilang pemprosesan durian yang mampu memproses durian sejuk beku, pulpa durian beku dan pes.

"Hasil produk ini dilihat berpotensi untuk pasaran domestik dan dieksport ke China serta beberapa negara lain.

"Perak SADC juga optimis pembangunan projek ini mampu menjadi antara penyumbang dalam merancakkan lagi industri durian, sekali gus mempromosi negeri ini antara hab pengeluaran durian utama di Malaysia," katanya.

Semalam, majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong disempurnakan Menteri Besar yang merangkap Pengerusi Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut kenyataan itu, pihaknya melalui anak syarikat Perak Agro Forestry Sdn Bhd (PAFSB) sudah mengorak langkah membangunkan projek tanaman durian berskala besar.

Katanya, ia secara dasarnya untuk meningkatkan penjanaan pendapatan melalui pelbagai cabang perniagaan, selain tidak hanya tertumpu kepada komoditi kelapa sawit semata-mata.

"Langkah dilaksanakan ini adalah berkesinambungan untuk menjadikan anak syarikat Perak SADC sebagai 'berdaya untung' yang menyumbang kepada pendapatan Perak SADC secara keseluruhannya seperti digariskan dalam Pelan Halatuju Strategik Lima Tahun Perak SADC," katanya.

Katanya, Ladang Ayer Kala sebelum ini adalah lokasi penanaman sawit yang sudah mencapai tempoh tanaman semula.

"Selepas beberapa kajian dibuat, lokasi ini dilihat berpotensi, sekali gus terpilih dibangunkan sebagai ladang perintis tanaman durian berdasarkan kesesuaian topografi dan geografinya.

"Secara asasnya, sebanyak 12,000 anak pokok durian daripada varieti Musang King, Duri Hitam dan D24 akan ditanam di lokasi ini dengan jumlah keluasan kawasan sekitar 120 hektar," katanya.

Katanya, ladang berkenaan juga bakal dilengkapi 'smart irrigation system' bagi memastikan aspek pengurusan pengairan anak pokok durian dapat diseragamkan dan dikawal secara sistematik.

"Penggunaan teknologi seumpama ini juga bukan saja menjadi kunci kepada kejayaan tanaman durian, bahkan ia memberi manfaat dalam mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

"Perak SADC mengharapkan projek tanaman durian ini akan memacu kejayaan, selain menjadi antara penyumbang utama kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri Perak secara amnya," katanya.

Berita Harian X