Sabtu, 2 April 2022 | 1:17pm

Masjid ceria dengan cat baharu

TUMPAT: Selepas dua tahun agak sepi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PK) susulan penularan COVID-19, Masjid Nurul Ehsan di Kampung Jal, di sini dicat baharu sempena Ramadan, sekali gus menampilkan keceriaan untuk ahli kariah kembali mengimarahkan pusat ibadat itu.

Timbalan Pengerusi Masjid Nurul Ehsan, Wan Shaari Wan Mohamad, berkata sumbangan daripada sebuah syarikat pembekal cat itu sangat membawa manfaat kepada ahli kariah masjid berusia 23 tahun berkenaan.

"Sejak dibina pada 1999, keadaan fizikal masjid masih kekal sehingga hari ini, termasuk catnya yang sudah semakin kusam. Alhamdulillah, ada pihak yang sudi menyumbangkan cat untuk mengubah wajah masjid ini. Sumbangan ini sangat bermakna di saat kedatangan Ramadan.

"Bulan suci ini sentiasa dinantikan semua umat Islam untuk sama-sama menunaikan solat Tarawih berjemaah memandangkan tahun lalu ada kekangan akibat pandemik.

"Kerja mengecat akan diselesaikan secepat mungkin dan kedatangan Syawal nanti pasti menambah rasa teruja anak-anak kariah jemaah untuk datang ke masjid yang mampu memuatkan 300 jemaah ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Wan Shaari berkata, pihaknya juga agak teruja untuk menjalankan beberapa aktiviti lain sempena Ramadan, antaranya majlis berbuka dan moreh untuk penduduk sekitar.

Sumbangan cat disampaikan Pengarah Urusan YTY Distribution Sdn Bhd, Densonne Yap kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang juga ahli jawatankuasa masjid terbabit.

Densonne berkata, Majid Nurul Ehsan adalah masjid kedua menerima sumbangan membabitkan peruntukan hampir RM10,000 itu tahun ini, sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya yang menumpukan bantuan kepada rumah ibadat.

"Kami memilih masjid atau surau untuk dicat kerana rumah ibadat sebegitu adalah tempat orang ramai berkumpul dan menjadi tumpuan serta memberi impak besar kepada pengguna. Setakat ini, sebanyak enam masjid dan surau sudah dicat baharu secara percuma dan kami akan meneruskan bantuan sama pada masa akan datang," katanya.

Shafien (kiri) mengecat dinding Masjid Nurul Ehsan, Kampung Jal Besar sambil diperhatikan Densonne Yap. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Shafien (kiri) mengecat dinding Masjid Nurul Ehsan, Kampung Jal Besar sambil diperhatikan Densonne Yap. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X