Khamis, 31 March 2022 | 7:38pm
Keadaan PATI warga Myanmar yang bersesak dalam sebuah MPV sebelum ditahan di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah pagi semalam. Foto Ihsan PGA
Keadaan PATI warga Myanmar yang bersesak dalam sebuah MPV sebelum ditahan di Kampung Panglima Bayu, Tanah Merah pagi semalam. Foto Ihsan PGA

Wanita disyaki tekong darat ditahan

TANAH MERAH: Seorang wanita dipercayai tekong darat ditahan pihak berkuasa selepas menyeludup masuk sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar pagi semalam.

Semua warga asing berusia antara 21 hingga 48 tahun itu dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas disyaki memasuki sempadan secara haram di kawasan Kampung Maskura di sini.

Kenderaan dipandu wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kampung Panglima Bayu oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada jam 7 pagi.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi, berkata pemeriksaan mendapati wanita berkenaan membawa sembilan warga Myanmar, iaitu lima lelaki dan empat wanita tanpa dokumen perjalanan yang sah.

"Kami menahan pemandu yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu dan sembilan warga asing berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 20 PATI warga Myanmar dicekup dalam dua lokasi berasingan di Rantau Panjang dekat sini, malam tadi.

Daripada jumlah itu, 17 terdiri daripada remaja berusia 14 hingga 18 tahun dan tiga kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai dibawa masuk menerusi pangkalan haram untuk bekerja di Lembah Klang.

Azhari berkata, semua diseludup seorang tekong darat yang juga warga Myanmar dengan lapan PATI itu dibawa menaiki kereta Perodua Myvi sebelum ditahan di Kampung Kedap pada jam 7.30 malam tadi.

"Seramai 11 lagi ditemui dalam belukar di Kampung Tok Deh Darat dan dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini melalui Pangkalan Haram Kertas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Berita Harian X