Rabu, 30 March 2022 | 3:47pm
 Loji kumbahan yang rosak dan terbiar sejak 22 tahun lalu di Taman Sinaran Kempas. NSTP/OMAR AHMAD
Loji kumbahan yang rosak dan terbiar sejak 22 tahun lalu di Taman Sinaran Kempas. NSTP/OMAR AHMAD

Loji kumbahan rosak, 500 keluarga hidu bau busuk sejak 22 tahun lalu

JOHOR BAHRU: Lebih 500 penduduk Taman Sinaran Kempas di sini, terpaksa menghidu bau busuk akibat loji kumbahan di kawasan perumahan itu sering rosak sejak 22 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas, Mohd Nassir Ahmad, berkata masalah itu berlanjutan sejak tahun 2000 apabila loji kumbahan gagal berfungsi tidak lama selepas penduduk berpindah ke kawasan itu.

"Pada awalnya penduduk di sini berpakat mengutip duit bagi menyelenggara dan membetulkan sendiri loji kumbahan yang rosak, hingga pada tiga tahun pertama.

"Bagaimanapun, loji kumbahan itu kerap rosak sehingga penduduk tidak mahu meneruskan kutipan wang mereka untuk digunakan bagi menyelenggara loji ini.

"Sejak itu, setiap rumah berbau busuk terutama selepas hujan. Bau busuk datang dari tandas dan sistem aliran yang tidak dapat mengalir terus ke loji kerana sistem loji kumbahan terhenti dan rosak," katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Nassir berkata, perumahan ini adalah rumah transit yang dibangunkan atas tanah hak milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk penduduk setinggan tepi rel kereta api yang dipindahkan ketika itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Katanya, rumah, fasiliti dan kemudahan yang dibangunkan diserahkan kepada penduduk sebaik saja penduduk pindah.

"Jadi penyelenggaraan loji kumbahan ini tidak berada di bawah tanggung jawab badan atau mana-mana pihak.

"Namun, penduduk tidak mempunyai dana besar untuk membetulkan dan menyelenggara loji kumbahan itu yang memerlukan kos besar.

"Sekarang loji itu langsung tidak berfungsi, malah kawasan loji kumbahan itu juga sudah ditumbuhi rumput," katanya.

Mohd Nassir berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah ini kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Pusat, tetapi disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan negeri, masalah loji kumbahan itu terbiar tanpa tindakan.

"Semua kemudahan ini termasuk loji kumbahan diserahkan kepada penduduk sepenuhnya. Kami sudah membuat aduan dan surat permohonan kepada kerajaan negeri dan kementerian berkaitan mengenai masalah ini, tetapi setakat ini tiada tindakan lanjut.

"Saya mewakili penduduk memohon kerajaan atau mana-mana jabatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami. Mesin loji kumbahan mungkin perlu diganti atau melantik kontraktor bagi penyelenggaraan loji ini.

"Kami sudah tidak tahan menghidu bau busuk dalam rumah sendiri kerana masalah ini yang berlarutan 22 tahun ," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, dia sudah melawat loji kumbahan terbabit dan berusaha menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya akan berusaha membawa isu ini kepada agensi kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Berita Harian X