Selasa, 29 March 2022 | 11:05am
Ahmad Fadhli (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Rahim Mahdina sambil disaksikan Aminuddin (tiga dari kanan) di Kampung Bukit Merbah, Seremban, petang semalam. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Ahmad Fadhli (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada Rahim Mahdina sambil disaksikan Aminuddin (tiga dari kanan) di Kampung Bukit Merbah, Seremban, petang semalam. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

TNB belanja RM39.2 juta jayakan program Baiti Jannati

SEREMBAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membelanjakan RM39.2 juta bagi melaksanakan program Baiti Jannati di seluruh Semenanjung sejak bantuan membiayai pembinaan, baik pulih atau pembelian rumah bagi golongan memerlukan itu bermula pada 2007.

Ketua Wilayah TNB Negeri Sembilan/Melaka, Ahmad Fadhli Aziz, berkata 879 rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB itu, termasuk di Negeri Sembilan.

"Ia sejajar dengan saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu membaiki atau membina rumah golongan memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa. Projek Baiti Jannati membabitkan kerja baik pulih, bina baharu atau membiayai pembelian rumah golongan miskin dan asnaf terpilih.

"Antara asnaf termasuk ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin bandar dan luar bandar. Sejak diperkenalkan pada 2007, 879 rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya membabitkan belanja lebih RM39.2 juta. Sumber dana projek ini adalah wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan rumah Baiti Jannati TNB kepada Rahim Mahdina Dollah, 48, di Kampung Bukit Merbah di sini, petang semalam yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai.

"Tahun lalu, sebanyak RM2.5 juta untuk 12 rumah disenaraikan dalam projek ini. Ada pelbagai lagi inisiatif dilaksanakan TNB melalui program CSR ini demi berkongsi kemakmuran dengan rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan negara, pemuliharaan alam sekitar dan sukan, yang memberikan nilai dalam kehidupan rakyat.

Sementara itu, Rahim Mahdina bersyukur dan berterima kasih kepada TNB kerana dipilih menerima bantuan menerusi program berkenaan.

"Kami tak pernah sangka mampu miliki rumah sendiri. Saya hanya bergantung kepada pendapatan isteri, Siti Rahimah Lok Hussin, 42, sebagai pengawal keselamatan. Pendapatan sekadar cukup makan iaitu RM1,700 sebulan," katanya yang tidak boleh bekerja kerana penyakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, angin ahmar dan pendarahan otak dialami sejak 2016.

Berita Harian X