X
Isnin, 28 March 2022 | 1:48pm

'Kasih tanpa sempadan'

KUALA KRAI: Atas dasar perikemanusiaan, seorang wanita sanggup bergolok gadai demi 'menyelamatkan nyawa' seorang kanak-kanak yang menderita sakit kanser darah walau tiada pertalian hubungan.

Che Norhayati Mohamed, 56, dari Desa Qaseh di sini, mengambil keputusan menumpangkan dua beranak warga Indonesia, Rini Mohd Yusup, 43 dan anak perempuannya, Siti Nor Saimah Saiful, 5, memandangkan mereka sebatang kara di sini.

Che Norhayati yang juga seorang aktivis masyarakat berkata, dia mengenali Rini sejak dua tahun lalu apabila membantu ibu tunggal itu bersama tiga anaknya yang kematian suami dan tiada tempat bergantung.

"Saya membawa Rini dan Siti Nor Saimah tinggal bersama sejak setahun lalu manakala dua lagi anaknya, Mohd Safuan, 9 dan Mohd Alsam, 8, dihantar ke sebuah sekolah pondok di Machang.

"Bagaimanapun sejak sebulan lalu, perubahan dialami oleh Siti Nor Saimah apabila dilihat tidak dapat berjalan, mengadu sering pening kepala dan beberapa anggota badan ada kesan lebam.

"Kami membawanya ke Hospital Kuala Krai dan selepas beberapa pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan anak yatim itu menghidap kanser darah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Che Norhayati yang juga Presiden Cempaka Merah Asnaf Society berkata, selama lapan hari Siti Nor Saimah dimasukkan ke hospital, kos rawatan mencecah RM2,000 memandangkan kanak-kanak itu adalah warga asing dan terpaksa menebalkan muka memohon bantuan rakan lain untuk mencukupkan kos terbabit.

Beliau yang mesra disapa sebagai Umi berkata, Siti Nor Saimah perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital namun kekangan kewangan yang dihadapi memaksa mereka membeli ubat dari klinik selain mencuba berikhtiar dengan rawatan alternatif.

"Saya juga sudah beberapa bulan berikhtiar untuk melengkapkan segala dokumen empat beranak itu kerana mereka ingin kembali ke Indonesia memandangkan sudah tiada sesiapa di sini.

"Bagaimanapun selagi mereka berada dengan saya, kami akan mencari ikhtiar untuk menyelamatkan Siti Nor Saimah walau terpaksa berhabis wang dan tenaga kerana ia membabitkan nyawa dan darah kita semua sama warnanya," katanya yang turut menjaga seorang anak angkat kurang upaya mental dan fizikal, Mohamad Alif Adam Abdullah, 21, sejak 12 tahun lalu.

Bagi Rini pula, dia enggan lagi membebankan Che Norhayati sekeluarga kerana sudah banyak jasa yang diberikan sepanjang mereka menumpang disebabkan kematian suami yang juga seorang warga Bangladesh yang dikenali sebagai Saiful, 50.

"Keadaan anaknya kini semakin teruk yang mana semakin tidak mampu berjalan, mulut ditumbuhi ruam dan banyak lebam di anggota badan.

"Saimah sering merengek kerana sakit dan saya tidak mampu berbuat apa-apa kecualu bergantung kepada umi sahaja kerana tiada saudara mara di sini.

"Bagaimanapun saya enggan terus membebankan Umi kerana mereka sekeluarga sudah banyak membantu dan kalau boleh saya ingin cepat kembali ke Indonesia," katanya.

Aktivis masyarakat, Che Norhayati Mohamed, 56, (kiri) melihat tubuh Siti Nor Saimah Saiful, 5, yang ada kesan lebam kerana komplikasi kanser darah. Kanak-kanak perempuan itu bersama ibunya, Rini Mohd Yusup, 43, menumpang di rumahnya sejak lebih setahun lalu kerana tiada saudara mara di negara ini. - NSTP/Siti Rohana Idris
Aktivis masyarakat, Che Norhayati Mohamed, 56, (kiri) melihat tubuh Siti Nor Saimah Saiful, 5, yang ada kesan lebam kerana komplikasi kanser darah. Kanak-kanak perempuan itu bersama ibunya, Rini Mohd Yusup, 43, menumpang di rumahnya sejak lebih setahun lalu kerana tiada saudara mara di negara ini. - NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X