Rabu, 23 March 2022 | 6:04pm
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif

Sijil Patuh Syariah untuk pengeluar produk makanan, minuman 'home based'

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi MUIS Halal Hab (MHH) akan mengeluarkan Sijil Patuh Syariah (SPS) kepada industri mikro pembuatan dan pengeluaran produk makanan dan minuman yang beroperasi di Sabah bermula Jun ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata usaha terbabit adalah langkah pihaknya dalam menjaga kepentingan pengguna Islam di samping meningkatkan lagi potensi industri halal bagi menjana ekonomi ummah negeri ini.

Menurutnya, MHH yang telah beroperasi sepenuhnya pada 17 September lalu merancang membantu industri mikro khususnya dalam kalangan usahawan yang berorientasikan produk keluaran dari rumah atau 'home based'.

"MHH memperkenalkan SPS dengan kerjasama agensi dan institusi pengajian tinggi seperti SIRIM, Unversiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam membangunkan standard SPS serta latihan kepada auditor halal dan pemain industri.

"Seramai 84 pengusaha industri mikro telah hadir dalam sesi ulasan dan rundingan Garis Panduan SPS pada 8 Mac lalu, di samping lawatan lapangan kepada pengusaha industri bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai industri 'home based' ini.

"SPS yang akan dikeluarkan oleh MHH ini membawa maksud bahawa produk terbabit adalah halal, selamat dimakan, digunakan serta mematuhi prinsip makanan dan minuman dalam Islam. SPS ini hanya diberikan kepada industri mikro yang melibatkan pembuatan dan pengeluaran produk makanan dan minuman yang beroperasi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Berita Harian X