X
Isnin, 21 March 2022 | 5:36pm
Tempat operasi mencari dan menyelamat dua pekerja yang dikhuatiri tertimbus masih diteruskan di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Tempat operasi mencari dan menyelamat dua pekerja yang dikhuatiri tertimbus masih diteruskan di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. - Foto NSTP/L MANIMARAN

Bomba dapat bantuan pakar UTP

IPOH: Operasi mencari dua mangsa tertimbus dalam runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, menunjukkan tanda positif selepas kajian mengesan kedudukan jengkaut pada kedalaman kira-kira 10 meter.

Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman, berkata pihaknya mendapat bantuan daripada pakar geofizik dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bagi menjalankan uji kaji bagi mengesan kedudukan jengkaut yang tertimbus.

"Kita mendapat bantuan daripada pakar geofizik UTP yang dipanggil '2D electrical resistivity and induced polarization survey' bagi mendapatkan titik kedudukan sebenar jengkaut yang tertimbus.

"Kajian berkenaan menemui satu titik besi yang bersaiz sama dengan saiz jengkaut yang tertimbus itu," katanya di sini hari ini.

Azmi berkata, susulan itu gerak kerja pasukan ketika ini memberi fokus kepada menggali kedudukan berkenaan.

Katanya, sejak semalam pengurusan kuari membuat beberapa letupan kecil bagi memecahkan batu besar yang menghalang laluan ke titik yang dikenal pasti.

Berita Harian X