X
Ahad, 20 March 2022 | 10:47am
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anum Man (dua dari kiri) bersama Mohd Faiz Azmi (kiri_ dan Watson, kambing boer dinobatkan juara kategori baka boer terbaik dan kategori kambing paling berat pada Pertandingan dan Pameran Kambing Baka Terengganu 2022. - NSTP/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anum Man (dua dari kiri) bersama Mohd Faiz Azmi (kiri_ dan Watson, kambing boer dinobatkan juara kategori baka boer terbaik dan kategori kambing paling berat pada Pertandingan dan Pameran Kambing Baka Terengganu 2022. - NSTP/AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Watson juara pertandingan kambing baka

KUALA TERENGGANU: Pelaburan seorang pemuda membeli kambing baka Boer berharga RM29,000 berbaloi apabila ternakannya muncul johan dua kategori pada Pertandingan dan Pameran Kambing Baka 2022.

Kambing baka yang dibeli pada Disember 2019 dari Australia itu memenangi tempat pertama kategori kambing boer senior dan kategori kambing paling berat. Ternakan yang dipanggil Watson berusia dua tahun tiga bulan itu seberat 120 kilogram, mengetepikan 120 kambing baka lain.

Mohd Faiz Azmi Mohamad, 33, dari Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Putih, berkata pertandingan itu kali pertama disertai dan gembira Watson terpilih sebagai kambing baka boer terbaik selain kambing paling berat.

"Memang ramai berhajat untuk membeli Watson, tetapi saya tidak bercadang untuk jual. Paling tinggi, ada peminat kambing boer menawarkan RM45,000," katanya yang menyifatkan berbaloi datang dari Kelantan semata-mata menyertai pertandingan berkenaan.

"Kemenangan Watson membuktikan kambing baka ini memang berkualiti tinggi dan wajar dijadikan pembaka utama di kandang. Saya nak membiakkan baka boer itu terlebih dahulu sebelum merancang menjualnya pada masa akan datang.

"Bukan senang untuk mendapatkan kambing baka boer sebesar itu dan jika dijual sekarang belum tentu akan menemui kambing baka boer sepertinya lagi. Penternakan kambing boer tidak merugikan kerana ia sentiasa mendapat permintaan tinggi, cepat membiak dan boleh dijual pada harga tinggi seterusnya memberi pulangan lumayan," katanya.

Berita Harian X