Rabu, 9 March 2022 | 10:42pm
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesan tapak pelupusan sampah haram di kawasan sawah belakang sebuah perumahan di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh. NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesan tapak pelupusan sampah haram di kawasan sawah belakang sebuah perumahan di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh. NSTP/ Ihsan JAS Pulau Pinang

Tapak pelupusan sampah dalam sawah

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengesan tapak pelupusan sampah haram di kawasan sawah di belakang sebuah perumahan, Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh, di sini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata bertindak atas aduan, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan itu pada 15 Februari lalu dan menemui satu tapak pelupusan haram yang menempatkan sisa pepejal, sisa binaan dan sisa disyaki buangan terjadual.

Katanya, siasatan lanjut menemui kira-kira 30 beg mengandungi sisa industri dilupuskan secara haram di sawah di belakang kawasan pembakaran terbuka.

"Tapak pelupusan buangan terjadual haram ini seterusnya disita. Sampel bahan buangan di tapak pelupusan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis.

"Berikutan itu, kami menjalankan siasatan ke beberapa premis di negeri ini dan berjaya mengenal pasti premis pengeluar buangan terbabit.

"Kami juga mengesan beberapa pihak berkaitan iaitu tuan punya tanah, penyewa serta beberapa pihak lain yang mungkin terbabit dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, kesemua pihak yang dikenal pasti itu dipanggil untuk beberapa siri rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Selain itu, katanya, melalui beberapa perbincangan dengan pihak terbabit iaitu premis pengeluar serta penyewa bersetuju untuk menanggung kos pembersihan dan pelupusan serta lain-lain kos berkaitan.

"Semua sisa tercemar dengan buangan terjadual akan dihantar ke tapak pelupusan akhir sisa berjadual di Kualiti Alam Sdn Bhd untuk pelupusan manakala untuk buangan sisa pepejal biasa, pemilik tanah diarahkan melupuskannya di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Burung," katanya.

Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut memaklumkan kewujudan tapak pelupusan haram itu kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan siasatan JAS, katanya, pemilik dan penyewa tanah didapati melakukan tambakan tanah menggunakan sisa buangan bagi membina bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk kes ini, JAS negeri telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman maksimum RM500,000 serta mandatori penjara tidak lebih lima tahun serta Seksyen 24b akta sama yang membawa hukuman maksimum RM100,000 atau lima tahun penjara," katanya.

Berita Harian X