Rabu, 9 March 2022 | 8:08am
Keadaan kebun Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura yang ditenggelami banjir akhir tahun lalu. - GAMBAR FAIL
Keadaan kebun Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura yang ditenggelami banjir akhir tahun lalu. - GAMBAR FAIL

72 pekebun terjejas banjir di Pahang terima bantuan

KUANTAN: Seramai 72 pekebun di negeri ini yang terkesan akibat banjir akhir tahun lalu, akan menerima bantuan pembangunan semula projek agromakanan membabitkan nilai keseluruhan RM429,155.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Muhd Rizal Baharom berkata, bantuan dalam bentuk input pertanian, peralatan dan kerja infra itu akan diagihkan kepada petani yang layak Mei dan Jun depan, membabitkan 41 pekebun di Temerloh, 15 di Raub, 14 di Lipis dan dua di Bera.

"Antara bantuan input pertanian dan peralatan disediakan seperti baja, benih, pam air, mesin siraman, peti sejuk, mesin tebu termasuk penyembur racun. Ia lebih kepada apa yang diperlukan pekebun.

"Bantuan infra pula membabitkan pembaikan dan membina semula sistem pengairan dalam kebun yang diharap dapat mengurangkan risiko banjir terutama pada musim tengkujuh.

"Bagaimanapun bantuan bagi pesawah yang mana tanaman padi mereka musnah ditenggelami banjir masih menunggu kelulusan di peringkat kementerian," katanya ketika dihubungi.

Muhd Rizal berkata, sektor pertanian tanaman agromakanan di Pahang kerugian lebih RM13.4 juta akibat bencana banjir luar biasa akhir tahun lalu, dengan 1,249 penanam padi dan 494 pekebun menanggung kerugian apabila tanaman mereka musnah ditenggelami banjir.

"Pesawah berdaftar menerima bantuan kewangan Tabung Bencana Tanaman Padi mereka berpeluang menerima sehingga RM5,400.

"Bagi pengusaha tanaman serta industri asas tani yang barangan mereka musnah ditenggelami banjir, mereka layak menerima sehingga RM50,000," katanya.

Berita Harian X