Sabtu, 5 March 2022 | 10:47am
Air banjir memnuhi kediaman penduduk di Kampung Kajang Sebidang. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Air banjir memnuhi kediaman penduduk di Kampung Kajang Sebidang. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

4,413 mangsa banjir masih di PPS di Kelantan, Terengganu

KOTA BHARU: Keadaan cuaca yang beransur pulih menyebabkan bilangan mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahaan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu semakin berkurangan.

Sehingga jam 10 pagi ini, jumlah mangsa di kedua-dua negeri direkodkan 4,413 orang dengan 14 PPS masih beroperasi.

Di Kelantan, seramai 2,690 mangsa membabitkan 823 keluarga itu masih ditempatkan di 10 PPS di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Dua PPS di Pasir Mas juga ditutup semalam.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat masing-masing berkurangan kepada 2,222 mangsa berada di tujuh PPS serta 468 orang di tiga PPS.

Mangsa banjir ditempatkan di PPS di Pasir Mas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dengan jumlah 942 mangsa, SK Gual Periok (402 mangsa), PPS Putat Tujoh (272 mangsa), SK Gelang Mas (209 mangsa), SK Baroh Pial (173 mangsa), SK Kedai Tanjong (147 mangsa) dan Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh (76 mangsa).

Di Tumpat mangsa 139 mangsa ditempatkan di SK Sri Tumpat 2, manakala 235 lagi di SK Pengkalan Kubor 2 dan 94 mangsa di SK Bunohan.

Sementara itu, mengikut portal eBanjir Kelantan, enam jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan iaitu tiga di Kuala Krai, dua di Pasir Mas dan satu di Tumpat.

Di Terengganu pula, bilangan mangsa di pindahkan kekal seperti malam tadi iaitu seramai 678 mangsa daripada 232 keluarga di empat PPS di Hulu Terengganu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, semua PPS berkenaan dibuka secara berperingkat bermula 25 Februari lalu.

Empat PPS masih aktif adalah di SK Menerong Kampung Gunung, Balai Raya Kampung Kemat, Dewan Institut Felcra Betong dan Felcra Gunung Menerong.

PPS di Dewan Institut Felcra Betong merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 338 mangsa daripada 101 keluarga, diikuti PPS Balai Raya Kampung Kemat menempatkan 201 mangsa daripada 72 keluarga.

Sementara itu, PPS di SK Menerong Kampung Gunung dan Felcra Gunung Menerong masing-masing menempatkan 83 mangsa dan 56 mangsa.

Berita Harian X