Jumaat, 4 March 2022 | 7:22pm

329 premis sembelihan di Selangor tiada SPHM

SHAH ALAM: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merekodkan 329 daripada 343 premis sembelihan belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata 329 premis berkenaan berada di bawah pemantauan JAIS dan pihaknya sedang melihat bagaimana ia boleh dijadikan sebagai pusat sembelihan halal yang lebih baik.

"Perkara yang menjadi halangan adalah kebanyakan aktiviti sembelihan ini dibuat di atas tanah pertanian, ini menyukarkan mereka mendapatkan SPHM.

"Perkara ini boleh dibincangkan lagi, mungkin mereka ini boleh dipindahkan ke premis industri bagi mengurangkan pencemaran sisa sembelihan agar dapat diuruskan dengan baik kerana ini matlamat kita untuk alam sekitar bersih" katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor Tahun 2022 di Shah Alam Convention Center, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Justeru, katanya, beliau menyarankan semua pengusaha pusat sembelihan halal agar mencari lokasi yang lebih sesuai dan lebih selamat.

"Pada peringkat awal ini, kita beri nasihat dan teguran, manakala fasa kedua penguatkuasaan. Jadi saya harap dalam masa diberikan ini semua pengusaha dapat bekerjasama mencari lokasi lebih baik bagi mohon sijil halal.

"Tempoh masa ditetapkan kepada (pengusaha pusat sembelihan) akan dibincangkan dengan JAIS," katanya.

Mengulas mengenai penganugerahan itu katanya, program dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan JAIS itu julung kali diadakan dan Selangor negeri pertama yang menganjurkannya.

"Program ini bertujuan menghargai pemilik premis sembelihan yang mendapat pengiktirafan sijil Halal Malaysia di Selangor agar konsisten mematuhi syarat dan peraturan serta melaksanakan operasi sembelihan haiwan halal secara patuh syariah dan halalan toyyiban.

"Pada masa sama, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai pemilik premis sembelihan memohon SPHM. Program ini disertai tujuh premis sembelihan yang mempunyai SPHM," katanya.

Mohd Zawawi (dua dari kanan) menyerahkan anugerah kepada pemenang pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor Tahun 2022 di Shah Alam Convention Centre, hari ini. Foto NSTP Faiz Anuar
Mohd Zawawi (dua dari kanan) menyerahkan anugerah kepada pemenang pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor Tahun 2022 di Shah Alam Convention Centre, hari ini. Foto NSTP Faiz Anuar
Berita Harian X