X
Rabu, 2 March 2022 | 9:00pm

Agih makanan kepada mangsa 'banjir termenung'

TUMPAT: Agihan makanan kepada penduduk terbabit banjir termenung di sini tetap dijalankan walaupun perlu meredah kawasan bendang yang menjadi seakan lautan akibat limpahan air banjir.

Sebanyak 500 pek makanan diagihkan kepada mangsa banjir di dua kampung iaitu Kampung Kubang Sawa dan Kajang Sebidang yang dimuatkan dalam enam bot.

Agihan sejauh kira-kira tiga kilometer itu disertai Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengambil risiko turun padang meskipun perlu mengharungi air di kawasan mencecah kedalaman 2.5 meter.

Che Abdullah berkata, agihan menerusi peruntukan pusat khidmat rakyat Parlimen Tumpat itu diberi dalam bentuk makanan asas termasuk beras, minyak, gula dan tepung gandum.

"Hari ini kita agihkan kepada penduduk terjejas dengan menaiki enam bot kerana ada kediaman terkepung dan dikelilingi air.

"Kita cuba agihkan dulu untuk sebahagian kecil daripada mangsa dan akan disusuli dengan penerima lain berdasarkan senarai daripada penghulu," katanya hari ini.

Che Abdullah berkata, selain mangsa di sekitar Pengkalan Kubor, agihan sama juga akan dilakukan untuk penduduk di 11 kampung di delta Sungai Kelantan yang turut terjejas banjir.

Lebih 10 kampung di kawasan Pengkalan Kubor menerima limpahan air banjir dari Rantau Panjang dan Pasir Mas sejak Ahad lalu yang menyebabkan fenomena banjir termenung.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kuala Jambu, Kubang Sawa, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Simpangan, Jejulok, Kajang Sebidang, Teluk Jering dan Derdap.

Sementara itu, penduduk Kampung Kajang Sebidang, Mohd Zulkifli Saman, 40, berkata setiap tahun mereka berdepan kejadian banjir, namun majoriti penduduk tidak berpindah disebabkan sudah biasa rumah dinaiki air.

Katanya, limpahan air menyebabkan berlaku banjir termenung yang mengambil masa lebih seminggu untuk surut berikutan tiada saliran menuju ke Sungai Golok, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk.

"Kebanyakan penduduk di sini ada bot sendiri dan bagi yang tidak memiliki pengangkutan itu seperti saya, kami menggunakan bot penambang yang mengenakan bayaran antara RM3 hingga RM4 sehala.

"Memandangkan situasi banjir termenung sudah setiap tahun dialami, kami memang tidak berpindah walaupun limpahan air ada yang sudah memasuki rumah penduduk namun keadaan terkawal," katanya yang dinaiki air satu meter di luar rumah.

Che Abdullah mengagihkan 500 pek makanan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Kubang Sawa dan Kajang Sebidang dengan menaiki enam bot. - NSTP/Siti Rohana Idris
Che Abdullah mengagihkan 500 pek makanan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Kubang Sawa dan Kajang Sebidang dengan menaiki enam bot. - NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X