Sabtu, 26 Februari 2022 | 3:46pm
Pekan Rantau Panjang digenangi air, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Pekan Rantau Panjang digenangi air, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,569 orang setakat jam 3 petang tadi, berbanding 881 mangsa 8 pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka membabitkan 489 lelaki dewasa, 527 wanita dewasa, 257 kanak-kanak lelaki, 264 kanak-kanak perempuan dan 32 bayi.

Susulan peningkatan mangsa itu, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan 29 PPS sehingga petang ini.

Semua mangsa daripada 464 keluarga berada di PPS empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Mangsa di Jeli mencatatkan jumlah seramai 506 mangsa yang ditempatkan di tujuh PPS, diikuti Kuala Krai (438 orang) di sembilan PPS, Pasir Mas (357 orang) di lima PPS dan Tanah Merah (268 orang) di lapan PPS.

Sementara itu, menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai utama di Kelantan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.45 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.11 m), Sungai Lanas di Air Lanas Jeli (29.75 m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.11 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (22.03 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.41 m).

Selain itu, satu sungai yang melebihi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.96 m.

Tiga sungai melebihi paras waspada, Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.60 m), Sungai Nal di Kuala Krai (23.87 m) dan Sungai Pergau di Jeli (71.41 m).

Berita Harian X