Sabtu, 26 Februari 2022 | 3:34pm
Pangkor sumber pengeluaran bilis utama. - Foto hiasan
Pangkor sumber pengeluaran bilis utama. - Foto hiasan

Zon tangkapan ikan bilis kekal

LUMUT: Zon tangkapan bagi bot pukat jerut bilis kekal seperti diwartakan dalam syarat lesen, iaitu satu batu nautika dan ke atas dari pantai.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Sufian Sulaiman, berkata zon tangkapan sesuatu sumber ditetapkan berdasarkan kajian saintifik, bagi memastikan ia tidak terancam.

"Pulau Pangkor menjadi sumber ikan bilis di Perak dan (penetapan zon) kita sudah mengambil kira sumber yang ada dan juga bergantung kepada kajian saintifik kita dari segi kitaran hidup seperti bila ikan bertelur, membesar dan bila kita tidak boleh tangkap.

"Kita membuat perbincangan dengan semua pengusaha ikan bilis, terutama di Pangkor.

"Persetujuan awal sudah dibuat untuk memastikan tangkapan tidak berlebihan dan mengikut cadangan jabatan," katanya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya (M) Datuk Kamaruszaman Abu Hassan dan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (Perak), Komander Fadzliana Fadzil.

Sufian berkata, permohonan penukaran zon tangkapan bot pukat jerut ikan bilis di Pangkor juga perlu mengikuti syarat lesen ditetapkan, iaitu di kawasan satu batu nautika dan ke atas.

"Pengusaha perlu faham dari segi teknikal. Bilis memang sekitar Pangkor tetapi di mana kawasan tangkapan itu yang kita kena lihat.

"Jumlah bot yang terbabit aktiviti ini juga kita akan pastikan berdasarkan kepada sumber itu sendiri," katanya

Beliau berkata, perbincangan masih diteruskan untuk memastikan sumber ikan bilis di Pulau Pangkor tidak pupus dan jabatan juga berusaha ke arah pemulihan sumber.

Media sebelum ini melaporkan, penukaran zon tangkapan bagi bot jerut bilis di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, di sini, akan menyebabkan ekosistem ikan bilis di pulau berkenaan terancam.

Berita Harian X