Rabu, 23 Februari 2022 | 12:06pm
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang, Tarmizi Mukhtar menyampaikan replika cek kepada Maimon Ismail. -Foto NSTP/Asrol Awang
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang, Tarmizi Mukhtar menyampaikan replika cek kepada Maimon Ismail. -Foto NSTP/Asrol Awang

Balu nelayan tidak sangka dapat pencen bulanan

KUANTAN: Balu Safie Ismail yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak COVID-19 Julai tahun lalu, tidak menyangka akan menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Suri rumah, Maimon Ismail, 58, dari Peramu, di sini, berkata ini kerana Allahyarham suaminya hanya bekerja sebagai nelayan.

Katanya, dia pula tidak mengetahui Allahyarham membuat caruman melalui Skim Perlindungan Keselamatan Sendiri sektor perikanan dengan PERKESO.

"Saya sememangnya tidak sangka akan menerima pencen bulanan selepas Allahyarham suami meninggal dunia akibat COVID-19 pada Julai tahun lalu.

"Dengan pencen ini ia sedikit sebanyak menampung keperluan termasuk membiayai pelajaran anak bongsu yang kini belajar di institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Maimon ditemui selepas majlis penyerahan faedah PERKESO dan Program Transformasi Usahawan Belia Pahang anjuran HUB Usahawan Belia Malaysia dan PERKESO Pahang di Wisma PERKESO Kuantan, di sini hari ini.

Penyerahan faedah itu disampaikan, Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar.

Hadir sama, Pengasas Hub Usahawan Digital dan Smart Belia Malaysia Pahang, Nurliana Muhammad.

Sementara itu, Tarmizi berkata, pencen itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan warisnya.

Katanya, berdasarkan laporan, Allahyarham Safie mendapat jangkitan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting, di sini yang bekerja mengumpul hasil tangkapan di kompleks berkenaan.

"Oleh itu, penerima iaitu balu Allahyarham layak menerima faedah pengurusan mayat dan faedah pencen secara bulanan kerana Allahyarham mendapat jangkitan ketika sedang bekerja," katanya.

Berita Harian X