Isnin, 21 Februari 2022 | 6:47pm
Pulau Perhentian tumpuan pelancong di Besut. - Foto hiasan NSTP/GHAZALI KORI
Pulau Perhentian tumpuan pelancong di Besut. - Foto hiasan NSTP/GHAZALI KORI

Besut dipromosi sebagai destinasi ekopelancongan

KUALA TERENGGANU: Pulau Perhentian dan Jertih di daerah Besut dikenal pasti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai destinasi ekopelancongan yang berpotensi dipromosi secara bersepadu.

Selain dua lokasi berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, berkata, Besut mempunyai tempat pelancongan lain seperti pantai Air Tawar, pantai Bukit Keluang, Desa Ukiran Kayu, Hutan Simpan Gunung Tebu dan Kolam Air Panas La.

Beliau berkata, pembuatan rebana dan gasing serta persembahan dikir barat dan wayang kulit antara keistimewaan yang boleh memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan daerah berkenaan.

Katanya, tarikan terbaru di Besut ialah luncur angin atau lebih dikenali sebagai paragliding di Bukit Bubus. "Selain merasai pengalaman berada di awangan, peluncur boleh menikmati keindahan panorama jajaran Bukit Keluang, Laut China Selatan, termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Rhu.

"Bukit Bubus pernah menerima peserta dari 28 negara dalam Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan pada 2017 dan 2020.

"Discovery Paragliding Beautiful Terengganu juga pernah diadakan di Bukit Bubus dan insya-Allah, satu lagi festival iaitu Terengganu International Air Festival akan diadakan di sana pada Ogos depan," katanya.

Berita Harian X