Isnin, 21 Februari 2022 | 4:32pm

MAFI bantu pekebun tembikai Bachok, Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian Kelantan dalam proses membanci pekebun tembikai yang terjejas selepas tanaman mereka ditenggelami air berikutan hujan berterusan, baru-baru ini.

Timbalan Menteri, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata difahamkan sebahagian besar daripada 400 penanam tembikai, ubi kentang dan tomato di kawasan seluas lebih 400 hektar di Bachok dan Pasir Puteh, terkesan akibat kejadian berkenaan.

"Kita anggar taksiran kerugian lebih jutaan ringgit. Sekarang masih dalam proses bancian dan kita akan cuba salurkan bantuan kewangan dan input pertanian bagi meringankan kerugian yang mereka tanggung. Bancian dibuat di bawah Tabung Bencana negara dan akan diperuntukkan segera sebaik mempunyai data tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Shahril Nik Md Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, di sini hari ini.

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin di Pasir Puteh, hari ini. - NSTP/Nor Amalina Alias
Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin di Pasir Puteh, hari ini. - NSTP/Nor Amalina Alias

Nik Muhammad Zawawi berkata, walaupun mempunyai sistem perparitan yang baik, hujan lebat menyebabkan air berlebihan tidak dapat dialirkan ke kawasan laut berdekatan dan memenuhi kawasan penanaman diusahakan pekebun terbabit.

"Ini menyebabkan rata-rata petani terpaksa menanggung kerugian modal dan hasil hampir RM2 juta. Bantuan yang akan diberikan turut mengambil kira hutang petani dengan agensi berkaitan seperti upah tenggala, baja dan sebagainya yang memerlukan modal besar," katanya.

Beliau juga memberi jaminan kerosakan tanaman tembikai itu tidak akan menjejaskan keperluan bekalan pada Ramadan dan Aidilfitri nanti kerana masih terdapat kawasan lain yang sedang diusahakan dengan hasilnya dijangka dapat dituai pada bulan berkenaan.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, pusat pengumpulan cili terbesar di daerah ini di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang bakal bertukar wajah selepas mendapat kelulusan peruntukan RM3juta semalam, yang pertama selepas 44 tahun dibina pada 1978.

"Menerusi peruntukan itu, PPK berkenaan akan membina bangunan baharu dan insfrastruktur berkaitan seperti dewan. Peruntukan itu penting memandangkan PPK Bukit Awang antara yang menjana sektor makanan negara menerusi pengeluaran cili terbesar, termasuk menjadi pembekal utama cili kepada syarikat makanan dan minuman terkemuka dunia, Nestle.

"Bangunan sekarang sangat uzur, jadi akan bina bangunan baharu yang lebih selesa kerana PPK ini mencatat keuntungan besar bagi pengeluaran cili," katanya.

Nik Zawawi berkata, kerajaan juga prihatin menyampaikan 300 bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin kepada petani di bawah PPK dan barisan hadapan di sekitar Pasir Puteh, membabitkan bantuan bekalan asas seperti beras, susu dan minyak masak.

"Kita juga sudah menyalurkan bantuan sama kepada 2,077 ahli Peladang di seluruh Kelantan seperti di PPK Tumpat, Rantau Panjang, Kuala Krai dan lain-lain dengan jumlah keseluruhan RM104,110.00," katanya.

Penanam tembikai, Safiah Mansor, 62, memetik buah tembikainya yang ditenggelami air di ladang miliknya di Kampung Kandis, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias
Penanam tembikai, Safiah Mansor, 62, memetik buah tembikainya yang ditenggelami air di ladang miliknya di Kampung Kandis, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias
Berita Harian X