Ahad, 20 Februari 2022 | 5:27pm
Kawasan rumah kongsi di Bandar Springhill, Port Dickson, yang menjadi sasaran kegiatan pecah rumah. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
Kawasan rumah kongsi di Bandar Springhill, Port Dickson, yang menjadi sasaran kegiatan pecah rumah. - NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA

Rumah kongsi jadi sasaran kegiatan pecah rumah

PORT DICKSON: Sejumlah warga Indonesia yang menghuni rumah kongsi di Bandar Springhill, di sini, kini hidup dalam kebimbangan berikutan kediaman mereka sering menjadi sasaran kegiatan pecah rumah.

Seorang mangsa terbabit, Muhammad Zainuri Ma'Sum, 23, mendakwa kejadian berlaku sejak beberapa bulan lalu ketika penghuni keluar bekerja dari pagi hingga lewat petang.

Beliau berkata, insiden itu berlaku hampir setiap bulan atau tiga minggu sekali, menyebabkan penghuni khuatir untuk meninggalkan barangan berharga di dalam rumah kongsi apabila keluar.

"Mungkin penjenayah terbabit menyangka kami tidak berani membuat laporan polis. Mereka berkemungkinan menyangka kami adalah buruh kasar tiada permit, sedangkan kami mempunyai majikan berdaftar," katanya.

Rakannya, Andik Wahyu Pornomo, 27, memaklumkan kebanyakan barangan dicuri dalam insiden pecah rumah berkenaan ialah telefon bimbit, baju dan barangan kemas.

"Ada dalam kalangan kami tinggal bersama isteri yang turut mengadu hilang barangan kemas yang disimpan di rumah kongsi kerana mereka bekerja di kawasan ladang sekitar Bandar Springhill.

"Bagaimanapun, kami amat berterima kasih kepada pemimpin masyarakat di sini yang sanggup turun padang mendengar masalah penghuni di rumah kongsi ini. Sebahagian kami adalah penduduk tetap yang memiliki kad pengenalan di Malaysia," katanya.

Sementara itu Naib Ketua Bahagian MCA, Datuk Teo Seng Lee, berkata pihaknya turut bersimpati dengan mereka yang teraniaya.

"Laporan polis sudah dibuat. Kita amat berharap masalah ini dapat diatasi supaya tidak berterusan," katanya.

Berita Harian X