Jumaat, 18 Februari 2022 | 5:30pm
Antara bot yang ditahan bersama tekong dan kru kerana menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Perlis. - FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS
Antara bot yang ditahan bersama tekong dan kru kerana menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Perlis. - FOTO IHSAN APMM ZON MARITIM KUALA PERLIS

Empat ditahan kerana siput retak seribu

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan empat rakyat tempatan dan tiga bot gentian tanpa nombor pendaftaran di tiga lokasi kerana disyaki menangkap siput secara haram.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata pihaknya menerima maklumat orang ramai berkaitan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan negeri.

"Kita menggerakkan bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan rutin Op Aman bagi mengesan dan memeriksa bot.

"Ketika menyusuri laut Kuala Perlis pada kedudukan kira-kira 1.98 dan 1.99 batu nautika barat pantai Kurung Tengar semalam, kita menahan dua bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang dikemudi dua tekong dan seorang kru.

"Rondaan selepas itu membawa kepada penahanan seorang tekong bot yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap siput berkenaan pada kedudukan sekitar 1.60 batu nautika barat muara Kuala Perlis," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan menemui empat set sangkar besi berupa tangguk siput dianggar bernilai RM1,800.

Mohd Hashim berkata, siput retak seribu seberat 335 kilogram turut dirampas dalam pemeriksaan itu.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu dianggar RM20,403," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua bot nelayan itu berpangkalan di Kuala Perlis dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

"Suspek juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (3) (c) akta sama kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum lesen berkenaan dikeluarkan.

"Semua yang ditahan adalah nelayan tempatan berusia 27 hingga 35 tahun manakala bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Hashim berkata, penangkapan siput jenis retak seribu di kawasan perairan Kuala Perlis didapati menggunakan bot gentian dengan enjin sangkut bergalah atau dipanggil 'ekor biawak'.

Jelasnya, aktiviti menangkap siput di perairan Kuala Perlis adalah kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan lesen untuknya.

"Lesen atau permit untuk penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja.

"Kegiatan ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih ikan di dasar laut serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai," katanya.

Ativiti haram itu menyebabkan nelayan pesisir pantai menanggung kerugian apabila pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut dengan kulit siput mati.

Berita Harian X