KUALA TERENGGANU: Kerajaan mengaktifkan tabung bencana pertanian bagi membantu petani yang terkesan susulan tanaman musnah ditenggelami air berikutan hujan lebat minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk tabung itu.
Katanya, tabung bencana pertanian perlu diaktifkan segera bagi membantu petani meneruskan usaha selepas hasil pertanian musnah ditenggelami air.
"Setakat ini jumlah keluasan keseluruhan tanah yang ditenggelami air masih di peringkat pengumpulan maklumat.
"Kita juga sedang mendapat maklumat jumlah kerugian ditanggung petani disebabkan hasil pertanian diusahakan ditenggelami air," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi mengakui ada menerima laporan berlaku kemusnahan sawah, tembikai dan sayur-sayuran disebabkan ditenggelami air.
"Saya sendiri turun melihat beberapa kawasan pertanian termasuk sawah ditenggelami air, terutama di Kampung Gong Telikong, Besut, dan mendapati padi yang baharu ditanam musnah.
"Kita juga turun melihat dan meninjau sendiri kemusnahan buah tembikai yang sedang menunggu masa untuk dituai ditenggelami air," katanya.
Dr Azman berkata, kerajaan akan menggunakan peruntukan melalui tabung bencana banjir untuk menyalurkan bantuan kepada petani dan pesawah agar kembali bangkit mengusahakan tanaman selepas ditenggelami air.