Jumaat, 18 Februari 2022 | 10:04am

Kamera AWAS Terowong Menora belum berkuatkuasa

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak belum dimaklumkan mengenai tarikh sebenar penguatkuasaan operasi empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang sebelum ini dilaporkan akan ditambah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora, di sini.

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan, berkata biarpun pihaknya sedia maklum mengenai pemasangan kamera itu di lokasi 'panas' terbabit, sehingga kini pihaknya tiada maklumat lanjut termasuk mengenai tarikh tepat ia bakal berkuatkuasa.

"Belum lagi bermula. Mengenai jangkaan bila ia akan dipasangkan pun kita tiada pengetahuan dalam hal itu," katanya pada sidang media Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan Bil. 1/2022 di Plaza Tol Ipoh (U), PLUS arah selatan, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan mengenai pemasangan empat kamera AWAS iaitu masing-masing dua unit sebelum dan selepas Terowong Menora membabitkan kedua-dua arah bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan berkenaan.

Operasi pemasangan kamera berkenaan di laluan panas itu dikatakan, sudah diluluskan Kementerian Pengangkutan dan dijangka dilaksanakan pada hujung tahun 2020, dengan had laju ditetapkan 70 kilometer sejam (km/j) berbanding kamera AWAS lain yang menetapkan had laju 110km/j.

Sementara itu, mengenai operasi Mohammad Yusoff, berkata ia dijalankan secara bersepadu bersama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan PLUS membabitkan kekuatan keseluruhan 96 anggota.

Katanya, operasi menumpukan kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had dibenarkan selain mengesan kesalahan teknikal termasuk bagi kenderaan perkhimatan pengangkutan awam seperti bas.

Beliau berkata, sebanyak 159 saman serta notis dikeluarkan oleh JPJ Perak menerusi operasi itu, tidak termasuk tiga tangkapan yang dibuat AADK selepas didapati positif dadah, notis oleh polis (101), serta tangkapan terhadap lima individu oleh Imigresen.

"Sebanyak 380 kenderaan diperiksa dalam operasi ini dengan 78 kenderaan diambil tindakan," katanya yang menmbah operasi bermula jam 8.30 malam danberakhir 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan JPJ Perak sepanjang tahun 2021, sebanyak 29,581 notis saman pelbagai kesalahan ke atas kenderaan perdagangan dikeluarkan, manakala 223 notis pelbagai kesalahan kepada kenderaan perkhidmatan awam.

Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh (U) Jelapang (Arah Selatan), malam tadi.- Foto NSTP/L Manimaran
Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh (U) Jelapang (Arah Selatan), malam tadi.- Foto NSTP/L Manimaran
Berita Harian X