IPOH: Tiada lagi advokasi, sebaliknya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan terus mengenakan tindakan terhadap penjaja di bahu jalan di persimpangan lampu isyarat di negeri ini.
Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan, berkata tindakan diambil bukan untuk menyekat sumber rezeki golongan mana-mana pihak sebaliknya, ia menyalahi peraturan selain mengundang bahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya lain sendiri.
"Berniaga di tempat berbahaya terutama di rezab jalan boleh mengundang kecelakaan dan nahas. Selama ini hanya tindakan advokasi diambil, namun kita akan laksanakan penguatkuasaan dalam waktu yang terdekat ini.," katanya ketika ditemui pada Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan Bil. 1/2022 di Plaza Tol Ipoh (U), PLUS arah selatan, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kesalahan menjaja di jalanan tertakluk di bawah Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar segera memperbaharui lesen memandu yang sudah tamat tempoh memandangkan tempoh moratorium Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sudah tamat pada 31 Disember lalu.
Katanya, kesibukan bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk leka daripada memperbaharui lesen, terutamanya apabila lazimnya tempoh luput lesen memandu bersamaan dengan tanggal tarikh lahir seseorang.