Khamis, 17 Februari 2022 | 11:41am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Pukat malas' punca utama kematian penyu di Terengganu

RANTAU ABANG: Penggunaan pukat pari atau lebih dikenali sebagai 'pukat malas' oleh nelayan berhampiran kawasan pendaratan penyu, dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian reptilia yang menjadi ikon pelancongan Terengganu itu.

Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Sharum Yusof, berkata berdasarkan kajian pihaknya, 45 peratus kematian penyu yang direkodkan setakat ini disebabkan tersangkut pada pukat pari, manakala 38 peratus akibat terperangkap dalam pukat tunda.

"Apabila penyu tersangkut pada pukat pari atau pukat malas yang diletakkan di dasar laut selama dua hingga tiga jam, haiwan itu akan kelemasan dan mati kerana gagal timbul di permukaan air untuk bernafas.

"Insiden terperangkap pada pukat kerap berlaku sehingga menyebabkan kematian dan lebih menyedihkan, ada nelayan sanggup membunuh penyu yang terperangkap kerana tidak mahu rosakkan pukat mereka ketika mahu keluarkan haiwan itu," katanya.

Kematian penyu di Terengganu semakin membimbangkan apabila 22 kes kematian dilaporkan dalam tempoh Januari lalu hingga kelmarin.

Pada 2019, sebanyak 78 kes kematian penyu direkodkan, manakala 55 kes dicatat pada 2020 dan 51 kes (2021).

Sharum berkata, penyu juga mudah terperangkap jika pukat digunakan nelayan melebihi saiz dibenarkan pihak berkuasa iaitu saiz mata pukat tidak boleh melebihi 25 sentimeter.

"Masih ramai nelayan di negeri ini tidak memahami (peraturan) dan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Susulan itu, katanya, pelbagai program kesedaran dan kursus diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran nelayan kepentingan mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus dapat menyelamatkan reptilia berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, peratus kehadiran amat sedikit sedangkan banyak lesen nelayan dikeluarkan, selain ramai yang turun ke laut tanpa lesen dan golongan ini sukar dididik hingga menjejaskan ekosistem marin.

Sementara itu, Pegawai Penyelidikan Penyu FRI Rantau Abang, Nazuki Sulong berkata, punca lain menyebabkan kematian penyu adalah terkena kipas bot, manakala peratusan penyu mati akibat termakan plastik sangat kecil iaitu hanya kira-kira lima peratus.

Beliau berkata, kematian penyu disebabkan termakan plastik jarang berlaku kerana kebiasaannya ia membabitkan penyu Belimbing yang makanan utamanya obor-obor dan spesies berkenaan sudah lama tidak kelihatan mendarat di pantai negeri ini.

"Penyu Belimbing mungkin keliru dan tidak dapat bezakan plastik terapung dengan obor-obor. Penyu lain seperti Agar, Lipas dan Karah yang banyak di negeri ini biasanya memakan rumpai laut, span (karang lembut) atau udang.

"Ada kes penyu mati yang ada plastik dalam mulutnya tetapi ia mungkin perbuatan khianat (orang masukkan)," katanya menambah spesies penyu Agar kini mendominasi populasi penyu di Terengganu sehingga 90 peratus.

Nazuki berkata, penggunaan Peranti Penyisih Penyu pada pukat tunda sepanjang musim tengkujuh (November hingga Mac) juga dapat menyelamatkan penyu daripada terperangkap dalam keroncong pukat sehingga menyebabkan kematian.

"Penyu yang memasuki pukat tunda dapat keluar melalui injap pada peranti ini, jadi penyu tidak terperangkap dan lemas dalam pukat," katanya.

Terdapat antara 800 sehingga 1,000 ekor penyu akan mendarat dan berada di perairan Terengganu ketika musim reptilia itu bertelur iaitu sekitar April hingga Oktober. – BERNAMA

Berita Harian X