Rabu, 16 Februari 2022 | 2:39pm

Lebih 100 pekebun tembikai rugi tanaman ditenggelami air bertakung

BACHOK: Lebih 100 pekebun tembikai di Kandis di sini, kerugian apabila tanaman mereka rosak akibat air bertakung susulan hujan sejak semalam.

Ada di antara mereka terpaksa menuai awal tanaman bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan, manakala sebahagian pula cuba menyelamatkan tanaman dengan mengepam keluar air bertakung.

Safiah Mansor, 62, berkata tanaman tembikai diusahakannya bersama pekebun lain ditenggelami hujan yang turun sejak petang hingga malam tadi.

"Hujan seharian sudah cukup buat tanaman tembikai saya seluas dua hektar tenggelam dalam air setinggi 0.3 meter. Kalau ikutkan, sepatutnya lagi seminggu dua baru tembikai boleh dipetik," katanya ketika ditemui hari ini.

Safiah menganggarkan kerugian lebih RM40,000, termasuk modal tanaman RM15,000 dan hasil lebih 10 tan yang biasanya dikutip di ladang berkenaan dan Kampung Kuau.

"Sudah tiga tahun tidak berdepan situasi ini kerana cuaca bulan ini sepatutnya kemarau," katanya yang mula menanam tembikai pada Disember lalu dan sepatutnya menuai hasil pada Mac.

Seorang lagi pekebun, Mohd Ayub Azmi, 26, berkata hujan kali ini turut menjejaskan tanaman tembikai di 14 hektar ladang diusahakan ayahnya, Azmi Yacob, 62, dan empat anak.

"Kami terpaksa memetik awal buah bagi mengelak lebih banyak kerosakan. Sekarang tembikai belum masak sepenuhnya, tapi kami terpaksa juga kutip kerana buah sudah 70 peratus masak, menyebabkan harganya turut terjejas," katanya.

Ibu tujuh anak, Rusniza Zakaria, 42, dia masih risau keadaan cuaca ketika ini memandangkan hasil tembikai adalah punca pendapatannya sekeluarga.

"Sepatutnya tembikai dituai selepas 70 hari ditanam. Untuk menanam baharu, memang memerlukan modal agak besar," katanya.

Safiah Mansor, 62, memetik tembikainya yang ditenggelami air di Kampung Kandis, Bachok, hari ini. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Safiah Mansor, 62, memetik tembikainya yang ditenggelami air di Kampung Kandis, Bachok, hari ini. - NSTP/NOR AMALINA ALIAS
Berita Harian X