DUNGUN: "Orang tawar dengan harga paling tinggi sekalipun saya tetap tidak akan jual debull," kata Afiq.
Mohd Afiq Abd Rahim, 31, dari Kampung Baru Kuala Abang pemilik lembu baka charolais audor yang dianggarkan seberat 1,000 kilogram atau satu tan.
Katanya, dia menjaga lembu charolais jantan berusia tiga tahun dan dipanggil debull itu sejak berusia empat bulan.
"Debull ialah lembu baka pertama yang saya beli dan ternak kerana sebelum ini menternak kambing baka jamnapari.
"Saya sanggup menjual 30 kambing jamnapari semata-mata untuk membeli lembu baka berkualiti.
"Lembu kesayangan itu dibeli di Bachok, Kelantan dengan harga RM4,200 seekor dan kini saya mempunyai lebih 10 lembu baka charolais dan limosin," katanya.
Tambahnya, lembu itu pernah ditawarkan dengan harga RM18,000 oleh seorang peminat lembu baka pada akhir Disember tahun lalu.
"Tak kisah berapa harga ditawarkan kerana saya tidak bercadang menjualnya kerana saya masih belum puas menjaganya.
"Mungkin debull akan disembelih sendiri atau dijual sebagai ternakan korban pada hari raya Aidiladha tahun ini," katanya.
Mohd Afiq berkata, dia bercadang mempertandingkan lembu baka itu pada pertandingan lembu sado yang bakal dianjurkan pada tahun ini.
"Memandangkan saiznya yang agak besar, ia memang sesuai ke pertandingan lembu sado," katanya.