MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19 mencukupi bagi kegunaan rakyat negeri itu, di sebalik peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar, berkata permintaan terhadap kit ujian itu meningkat secara mendadak sebagai langkah awal mencegah penularan varian Omicron dalam kalangan masyarakat.
"Hasil pemeriksaan dan pemantauan dijalankan Seksyen Penguatkuasa, KPDNHEP Melaka dari September 2021 hingga Januari 2022, sebanyak 1,148 premis yang menjual kit ujian pantas diperiksa dan tiada aduan diterima berkaitan bekalan mahupun harga jualan melebihi harga kawalan.
"Secara amnya, peniaga di Melaka menjual kit ujian pantas ini di bawah harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat 100 jenama kit ujian pantas dijual di seluruh negara dengan harga terendah RM4.90 dan tertinggi, RM19.90 selaras dengan harga siling ditetapkan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Norena berkata, sebanyak 6,203 premis perniagaan membabitkan peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang diperiksa sejak 1 Januari hingga 14 Februari lalu.
Beliau berkata, KPDNHEP Melaka menerima 91 aduan rasmi harga dan sehingga semalam, sebanyak 75 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1,080.70 terdiri.
"Sebanyak RM12,100 kompaun dan RM90,000 denda dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang diambil tindakan," katanya.
Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam. - BERNAMA