Rabu, 16 Februari 2022 | 7:55am

Kluster Tembok kembali catat kes tinggi di Sabah

KOTA KINABALU: Kluster Tembok yang membabitkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan Jabatan Penjara kembali mencatat kes tinggi di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 yang membabitkan Penjara Kepayan, di sini, mencatat 104 kes positif COVID-19 setakat ini, termasuk satu kes baharu semalam.

Beliau berkata, kluster berkenaan dikesan 1 Februari lalu selepas kes indeks membabitkan seorang banduan lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bakal dibebaskan dan didapati positif COVID-19.

"Saringan terhadap semua kontak rapat mendapati 103 lagi banduan dan kakitangan penjara positif, menjadikan keseluruhan 104 kes positif setakat ini.

"Semua pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kluster Tembok mula diisytiharkan di Sabah pada Oktober 2020 di Penjara Tawau dan merebak ke Penjara Kota Kinabalu antara Oktober hingga November 2020, sebelum reda dan kembali sekali lagi pertengahan tahun lalu.

Masidi berkata, satu lagi kluster berkaitan jangkitan dalam institusi pendidikan turut dikesan di Sabah semalam, membabitkan Kluster Jubi Tambulion di Kota Belud, yang setakat ini mengumpul 22 kes positif COVID-19 termasuk 15 semalam.

Beliau berkata, kluster membabitkan pelajar Asrama Jubilee Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion itu tercetus selepas seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 12 Februari lalu.

"Saringan terhadap kontak rapat terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas mendapati lebih ramai positif, menjadikan keseluruhannya 22 kes positif setakat ini," katanya.

Semalam, Sabah sekali lagi mencatat kes harian COVID-19 tinggi dengan 4,374 kes baharu, naik 339 kes berbanding kelmarin, manakala lapan kes kematian dicatatkan iaitu tiga di Tuaran dan masing-masing satu di Tawau, Semporna, Beaufort, Kota Kinabalu serta Kota Marudu.

Daripada 4,374 kes semalam, 99.45 peratus atau 4,350 kes dikenal pasti dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala tujuh kes dalam Kategori 3, 10 kes dalam Kategori 4 serta tujuh kes lagi dalam Kategori 5.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jangkitan mengikut daerah menunjukkan Kota Kinabalu kekal dengan angka tertinggi iaitu 752 kes, diikuti Sandakan (647 kes), Tuaran (388 kes), Penampang (385 kes), Tawau (256 kes), Putatan (241 kes), Papar (233 kes), Lahad Datu (196 kes), Ranau (158 kes), Beaufort (158 kes), Keningau (144 kes), Kota Belud (123 kes) dan Kota Marudu (116 kes).

Dalam pada itu, beliau berkata jangkitan COVID-19 membabitkan kanak-kanak di Sabah juga kekal tinggi dengan lebih 500 dijangkiti virus berkenaan atau 12 peratus daripada keseluruhan kes semalam.

Berita Harian X