Jumaat, 11 Februari 2022 | 6:44pm

Ikan selayang satu tan licin dalam satu jam

JERTIH: Satu tan metrik ikan selayang sejuk beku yang dijual pada harga RM5 sekilogram (kg) licin dalam tempoh satu jam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Hulu Besut, di sini, hari ini.

Selain ikan selayang, beras 500kg dan 150 paket bihun juga habis dalam tempoh sama.

Beras yang setiap satu seberat lima kilogram dijual pada harga RM10 manakala bihun dijual pada harga RM1.00 sebungkus.

Berdasarkan harga ditetapkan kerajaan, beras seberat 5kg ditetapkan pada harga RM13.00 manakala bihun 2.20 sen sebungkus.

Harga tiga jenis barangan keperluan harian itu dijual pada harga rendah selepas diberi subsidi oleh Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad.

Nawi yang juga Pengerusi Felcra Bina Sdn Bhd memberi subsidi sebanyak RM3 bagi setiap 5kg beras, RM2 kg ikan selayang dan RM1.20 setiap satu bungkus bihun.

Katanya, subsidi ke atas tiga barangan itu diberikan bertujuan bagi meringankan bebanan penduduk yang masih terkesan susulan kenaikan harga barangan keperluan asas.

"Memandangkan sambutan diberikan masyarakat, kita mencadangkan agar PJKM diperluaskan di kawasan pedalaman bagi memberi peluang kepada masyarakat membeli pelbagai barangan pada harga lebih murah," katanya kepada media ketika ditemui pada PJKM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail.

Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati 200 papan atau 6,000 telur gred C yang dijual pada harga RM10.80 sen sepapan licin dalam tempoh setengah jam.

Selain itu, 400kg ayam segar yang dijual pada harga RM8.40 sen sekg turut licin dalam tempoh setengah jam.

PJKM peringkat parlimen Besut yang diadakan di Batu 13, Hulu Besut adalah program pertama diadakan di kawasan pendalaman oleh Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Difahamkan, kira-kira 2,500 penduduk menyerbu ke tapak PJKM seawal 7.45 pagi tadi.

Ikan selayang, beras dan bihun yang dijual pada harga durian runtuh diserbu pengguna pada PJKM yang diadakan di Kampung Batu 13, Hulu Besut, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Ikan selayang, beras dan bihun yang dijual pada harga durian runtuh diserbu pengguna pada PJKM yang diadakan di Kampung Batu 13, Hulu Besut, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X